Utusan Borneo (Sarawak)

Graduan cacat penglihata­n terima Anugerah Pingat Emas Canselor

-

SINTOK: Cacat penglihata­n dan pernah tercicir dari sekolah rendah tidak menghalang seorang gadis kelahiran Sabah, Harziah Khalid Yunis, untuk menempa kejayaan sehingga dikurniaka­n Anugerah Pingat Emas Canselor sempena Majlis Konvokesye­n Universiti Utara Malaysia di sini semalam.

Malah lebih membanggak­an apabila graduan Sarjana Muda Pentadbira­n Perniagaan den- gan Kepujian berusia 26 tahun itu menamatkan pengajiann­nya setahun lebih awal berbanding rakannya dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama.

Harziah berkata hanya usaha yang membezakan antara dirinya dengan insan biasa yang lain kerana beliau percaya kekuatan akal mampu membantu menggerakk­an anggota badan yang lain untuk mengejar kejayaan.

“Sejak pertama kali saya sampai ke UUM, perkara paling utama yang saya tekadkan ialah saya mahu berjaya, dengan itu saya tidak boleh merungut terhadap kekurangan diri sendiri kerana ia adalah kunci kepada kegagalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada msjlis konvokesye­n itu.

Ketika ditemui, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia perlu berusaha dua kali ganda lebih daripada rakan-rakannya yang normal kerana perlu mengambil subjek yang lebih bagi menghabisk­an pengajian lebih awal.

Ketika menceritak­an keadaanya waktu sekolah rendah, Harziah berkata beliau tercicir dalam persekolah­an apabila masalah penglihata­n menghalang­ya daripada belajar asas membaca dan menulis dengan betul. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia