Utusan Borneo (Sarawak)

Terengganu belanja kira-kira RM3 juta untuk persiapan banjir

-

KUALA TERENGGANU: Terengganu membelanja­kan kira-kira RM3 juta sebagai persediaan menghadapi banjir pada tahun ini, kata Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Wan Nawawi yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata perbelanja­an itu termasuk menyediaka­n kemudahan sempurna di kesemua 553 pusat pemindahan di negeri ini.

“Semua pegawai daerah yang mempengeru­sikan Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Daerah masingmasi­ng juga diarah untuk memastikan semua pusat pemindahan ini mempunyai kemudahan yang lengkap dan sempurna untuk keselesaan mangsa banjir nanti.

“Secara keseluruha­nnya, persiapan akhir Terengganu untuk menghadapi banjir kali ini berada di tahap yang amat baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengeru­sikan mesyuarat JPBNT kali ketiga di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman dan Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Wan Nawawi berkata beliau juga berpuas hati dengan taklimat berhubung persiapan banjir yang disampaika­n tiga jabatan iaitu Jabatan Meteorolog­i Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita harap Jabatan Meteorolog­i akan sentiasa mengemas kini keadaan cuaca semasa bagi memudahkan penduduk Terengganu mengambil tindakan yang sesuai.

“JPS pula memaklumka­n projek-projek yang dibuat telah pun siap sepenuhnya. Saya sendiri berkesempa­tan meninjau kawasan yang kerap dilanda banjir dari Ajil menghala ke Kuala Terengganu semalam dan mendapati semua aliran longkang dan anak sungai telah dibersihka­n, insya- Allah boleh menampung aliran air yang banyak,” katanya.

Sejak 15 Okt lepas, stok bekalan bantuan banjir juga telah mula diagihkan di 142 pangkalan hadapan dan 20 mini depo di seluruh negeri.

Mengulas lanjut, Wan Nawawi berkata stok yang diedar adalah cukup un- tuk menampung keperluan 131,875 mangsa banjir, namun sekiranya banjir buruk berlaku dalam tempoh yang lama, kerajaan negeri akan bekerjasam­a dengan manamana pasar raya untuk menghantar bekalan kecemasan sebagai khidmat tanggungja­wab sosial korporat (CSR) mereka.

“Selain jabatan kerajaan, persediaan banjir turut melibatkan komuniti setempat iaitu anggota Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) melalui beberapa siri latihan simulasi,” katanya.

Seramai 171 pegawai dan 2,698 anggota pasukan penyelamat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM, Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (Rela) akan bertugas sepanjang musim banjir.

Sebanyak 18 jabatan dan agensi kerajaan terlibat dalam JPBNT yang menggabung­kan semua kekuatan aset, logistik dan sumber manusia secara bersepadu bagi meminimumk­an kerugian harta benda pada musim banjir kali ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia