Utusan Borneo (Sarawak)

POLIS TAHAN PELAJAR UGUT ABANG JOHARI

-

KUCHING: Polis semalam menahan seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun kerana disyaki memuat naik komen ugutan bunuh terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata suspek berkenaan telah dibawa oleh ayahnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching setelah mendapat tahu polis sedang mengesan anak lelakinya.

“Pada jam 2.30 petang hari ini (Ahad), JSJ IPD Kuching telah menahan suspek berumur 14 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, satu unit telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik komen ugutan itu telah dirampas.

Bagaimanap­un suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan­nya diambil.

Setakat Ahad, sebanyak tujuh laporan polis dibuat berhubung komen berunsur ugutan daripada pemilik akaun Facebook, Gerard Hie terhadap pemimpin negeri Sarawak.

Susulan itu Dev berkata siasatan telah dijalankan polis di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Usaha mengenal pasti identiti pemilik akaun Facebook itu telah dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata pihaknya turut bekerjasam­a dengan cawangan Bukit Aman dan Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengenal pasti pemilik akaun Facebook terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia