Utusan Borneo (Sarawak)

Remaja aktif kegiatan curi motosikal ditahan polis

-

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang remaja lelaki yang terlibat kegiatan mencuri motosikal dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Perai Jaya 3, di sini tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan remaja berusia 17 tahun itu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Hasil penahanan remaja itu, polis merampas sebuah motosikal curi jenis Yamaha 125z dan peralatan untuk mencuri kenderaan antaranya batang besi berbentuk T dan sebatang ‘ allen key’ yang diasah tajam,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah stor di Taman Rupawan, Kepala Batas dekat sini dan merampas pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan. Katanya polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Ex5 yang dilaporkan hilang di Kulim, Kedah baru-baru ini.

Nik Ros Azhan berkata berdasarka­n siasatan remaja itu terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal bersama seorang lagi rakannya yang telah dikenal pasti berusia awal 20-an, sejak beberapa bulan lepas.

“Dia dan rakannya mempunyai ‘ kepakaran’ untuk mencuri motosikal tidak sampai lima minit dengan hanya menggunaka­n ‘allen key’ dan batang besi berbentuk T yang dirampas itu,” katanya.

Katanya sasaran mereka adalah motosikal yang diletakkan di kawasan pasar raya dan kenderaan yang dicuri akan disimpan dalam stor sebelum komponenny­a dileraikan atau motosikal itu terus dijual kepada pembeli dengan harga murah.

“Motosikal yang dicuri itu kebanyakan­nya dijual kepada geng mat rempit atau kenalan mereka sahaja dan polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek terlibat dalam kes curi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata remaja yang sudah tidak bersekolah dan mempunyai rekod lampau kes curi motosikal itu kini direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia