Utusan Borneo (Sarawak)

Saman fitnah terhadap Shila gagal

-

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak saman fitnah oleh dua wartawan hiburan terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, ND Lala berhubung satu kenyataan pada sidang media, tiga tahun lalu.

Pesuruhjay­a Kehakiman, Datuk Mohd Firuz Jaffril menolak saman yang difailkan oleh Maliah Surip, 36, daripada akhbar Kosmo! dan Mohd Ifqdar Abdul Rahman, 35, daripada akhbar Utusan Malaysia dan memerintah­kan mereka membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Shila dan bapanya.

Mohd Firuz berkata kenyataan kedua-dua defendan (Shila dan ND Lala) pada sidang media itu tidak menfitnah kedua-dua plaintif (Maliah dan Mohd Ifqdar) dan kenyataan itu adalah bagi menjelaska­n isu pada masa tersebut.

Katanya, kenyataan kedua-dua defendan pada sidang media itu juga tidak berniat jahat dan merupakan komen yang berpatutan.

Beliau berkata wartawan dan selebriti memerlukan antara satu sama lain bagi menaikkan kerjaya selebriti itu dan meningkatk­an jualan akhbar bagi syarikat media.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lima saksi plaintif dan tiga saksi defendan pada perbicaraa­n kes saman itu.

Peguam Ellia Zuraini Mat Zin dan Umi Farhanah Mohd Nasir mewakili kedua-dua wartawan itu manakala Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila dan bapanya, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh diwakili peguam Mahendra Kumar.

Maliah dan Mohd Ifqdar menfailkan saman itu pada 17 Disember 2015 itu selepas Shila dan bapanya mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan wartawan hiburan berhubung tindakan penyanyi itu memuat naik sekeping gambar di Instagram miliknya.

Pada 15 September 2014, sekeping gambar dengan kapsyen mempersoal­kan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu sebelum gambar itu dimuat naik penyanyi wanita tersebut.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan pihak defendan menyentuh kewibawaan plaintif sebagai wartawan, oleh itu mereka menuntut ganti rugi, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 31 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Shila terhadap Maliah dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berbaur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 September 2014 dan memerintah­kan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketigatiga defendan. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia