Utusan Borneo (Sarawak)

Penghuni kuarters berjaya tangkap pencuri tembaga

-

KUCHING: Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas disyaki mencuri tembaga dari sebuah kuarters kerajaan dengan terjun ke dalam sungai di Muara Tebas, di sini tidak berjaya apabila berjaya ditangkap semalam.

Menurut sumber, suspek berusia 34 tahun dan berasal dari Kampung Muara Tebas, mulanya dilihat oleh penghuni kuarters berkenaan dalam keadaan mencurigak­an, yang kemudian segera memaklumka­n kepada rakannya yang lain iaitu sekitar jam 3 pagi.

Difahamkan, beberapa penghuni di kuarters tersebut kemudian segera berkumpul dan berjaya menemui suspek yang dikatakan sedang giat memotong besi tembaga sistem perlindung­an kilat di bangunan kuarters tersebut.

“Menyedari kegiatan jenayahnya itu terbongkar, suspek terus melarikan diri dengan memasuki kawasan semak berdekatan sebelum terjun ke dalam sungai akibat terdesak.

“Suspek bagaimanap­un cuba dipujuk agar menyerah diri, namun tidak dipedulika­n menyebabka­n seorang lelaki yang merupakan kakitangan Jabatan Laut Malaysia terjun ke dalam sungai tersebut dan berjaya menangkap suspek,” kata sumber.

Suspek ketika dibawa ke darat kemudian dikatakan bertindak agresif ketika cuba melarikan diri namun berjaya dihalang.

Anggota polis daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang dimaklumka­n mengenai perkara tersebut kemudian segera ke tempat kejadian dan terus menahan suspek untuk tindakan selanjutny­a.

Suspek yang mengalami sedikit kecederaan kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membantu siasatan.

Turut dirampas daripada suspek ialah seunit alat pemotong besi dan besi tembaga yang telah dipotong.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia