Utusan Borneo (Sarawak)

MERCUN, BUNGA API RM1 JUTA DIRAMPAS

-

LIMBANG: Intipan dan risikan dilakukan anggota unit risikan Polis Marin Sarawak hampir seminggu berjaya merampas enam kontena berisi mercun dan bunga api bernilai hampir RM1 juta, dalam satu serbuan di sebuah kawasan lapang di Jalan Medamit, terletak 41 kilometer dari bandar Limbang tengah hari kelmarin.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP Salehuddin Mat Zaman berkata ia merupakan rampasan kedua dilakukan anggotanya dalam tempoh seminggu di Sarawak selepas rampasan terbesar Khamis lepas.

Beliau berkata intipan dan risikan dilakukan ekoran kejayaan anggotanya merampas mercun, bunga api dan arak di sebuah kilang bata lama Khamis lepas.

“Ekoran kejayaan itu, kami melakukan siasatan dan intipan terhadap sebuah lagi kawasan lapang di Jalan Medamit, iaitu enam kilometer dari kilang bata lama, iaitu lokasi rampasan terbesar sebelum ini,” katanya ketika dihubungi media semalam.

Hasil pemeriksaa­n katanya, terdapat enam kontena yang diletakkan di kawasan lapang terbabit.

“Keenam-enam kontena itu berisi pelbagai mercun dan bunga api dianggar bernilai hampir RM1 juta,” katanya.

Salehudin berkata barang tersebut diseludup masuk untuk pasaran tempatan menjelang musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat dalang terbabit sama ada mempunyai kaitan dengan dalang yang terlibat dengan rampasan terbesar sebelum ini.

Operasi ujarnya, diketuai seorang pegawai bersama enam anggota Unit Risikan Polis Marin dari Kuching, Bintulu dan Limbang.

 ??  ?? RAMPAS: Kontena dirampas di sebuah kawasan lapang di Jalan Medamit kelmarin. BERISI MERCUN: Beberapa kontena yang dirampas berisi mercun dan bunga api.
RAMPAS: Kontena dirampas di sebuah kawasan lapang di Jalan Medamit kelmarin. BERISI MERCUN: Beberapa kontena yang dirampas berisi mercun dan bunga api.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia