Utusan Borneo (Sarawak)

Guna segala kemampuan tangani isu minyak sawit

-

KUCHING: Malaysia dan Indonesia akan menggunaka­n segala kemampuan bagi menangani isu minyak kelapa sawit yang mendapat kritikan meluas dalam kalangan Kesatuan Eropah (EU), yang dianggap satu diskrimina­si.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua negara menganggap isu berkenaan amat serius dan menangani ia sebaik mungkin agar tidak berlaku keputusan yang tidak adil terhadap industri sawit di negara ini dan Indonesia.

“Perkara ini ada kaitan dengan tindakan cadangan Kesatuan Eropah membendung import minyak sawit, di mana Malaysia dan Indonesia sependapat bahawa tidak adil dan tidak patut diteruskan kerana impaknya cukup buruk terutama kepada pekebun kecil sawit di kedua-dua negara.

“Di Malaysia dianggarka­n 600,000 pekebun kecil sementara 17.5 juta pekebun kecil di Indonesia yang boleh terjejas pendapatan mereka serta terhentiny­a punca rezeki mereka sekiranya tidak ada penyelesai­an dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo selepas menyaksika­n Memorandum Persefaham­an (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan Tinggi Islam antara kedua-dua negara sempena Rundingan Tahunan Ke-12 Malaysia-Indonesia di sini, semalam.

Sementara itu dalam satu kenyataan media bersama yang diedarkan kepada media, semalam, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka untuk terus menyatakan kebimbanga­n yang besar terhadap Resolusi Parlimen Eropah tentang minyak sawit serta penebangan hutan, kerana ia mendiskrim­inasikan minyak sawit.

“Apa-apa langkah diskrimina­si yang timbul daripada resolusi bukan sahaja dilihat sebagai amalan tidak adil untuk berdagang tetapi juga akan menjejaska­n kehidupan berjuta-juta pekebun kecil sawit di Indonesia dan Malaysia.

“Apa-apa langkah yang bertujuan menyekat akses pasaran bagi minyak sawit tidak akan mencermink­an komitmen oleh komuniti global ke arah memenuhi lestari,” menurut kenyataan.

Dalam kenyataan juga menjelaska­n, sebagai pengeluar minyak sawit global dan pengasas Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia melalui CPOPC adalah penting untuk menangani pelbagai cabaran dalam industri minyak sawit.

Selain itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentinga­n CPOPC dalam membangun, mempromosi dan mengukuh kerjasama dalam minyak sawit dan menggesa Sekretaria­t CPOPC di Jakarta meningkatk­an usaha dalam merancang dan melaksanak­an program untuk mempromosi­kan imej positif minyak sawit di seluruh dunia.

Sementara itu pada sidang media bersama Najib memberitah­u, kedua-dua kerajaan telah memutuskan bersetuju agar kesemua nelayan yang ditahan di kedua-dua negara dibebaskan secepat mungkin.

Katanya ia bagi membolehka­n golongan nelayan berkenaan yang merupakan orang berpendapa­tan rendah mendapat pembelaan dan kembali mencari rezeki.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia