Utusan Borneo (Sarawak)

Askar tembak wartawan

-

NEW DELHI: Seorang anggota tentera India telah menembak mati seorang wartawan selepas satu pergaduhan dalam pembunuhan media ketiga berprofail tinggi di negara ini dalam tempoh hanya tiga bulan, menurut pihak polis semalam.

Sudip Dutta Bhaumik telah ditembak mati kelmarin di sebuah pangkalan separa tentera di wilayah timur laut terpencil Tripura.

Anggota tentera tersebut melepaskan tembakan selepas Bhaumik, seorang wartawan jenayah, meminta untuk bertemu dengan seorang pegawai tinggi di ibu pejabat Second Tripura State Rifles berhampira­n bandar utama negeri Agartala, menurut laporan media.

“Mangsa telah ditembak mati di dalam pejabat komander oleh seorang anggota tentera selepas mereka bergaduh dan berbalah mengenai beberapa isu,” menurut ketua polis tempatan Abhijit Saptarshi.

Beliau menyatakan anggota tentera yang dituduh mengaku tembakan mendakwa berbuat demikian dalam pergelutan selepas wartawan terbabit cuba merampas raifalnya.

Anggota tentera itu telah ditangkap, tambah pegawai tersebut.

Wartawan berkenaan bertugas bagi akhbar terkenal Bengali, Syandan Patrika di

Tripura di mana beberapa kumpulan militan puak menentang pendatang berbahasa Bengali.

Media India telah dikejutkan dengan satu siri pembunuhan pada tahun ini.

Seorang wartawan telah dibunuh oleh kumpulan samseng pada 20 September semasa perbalahan di antara pihak polis dan puak politik tempatan dalam kejadian berhampira­n Agartala.

Mayatnya yang dikerat telah ditemui pada keesokan harinya.

Pada September penyerang bersenjata telah menembak mati wartawan terkenal Gauri Lankesh di bandar selatan Bangalore, di sebalik dakwaan bahawa beliau disasarkan kerana pendapat beliau mengenai sayap kanan Hindu.

Tiada tangkapan telah dilakukan bagi kes tersebut.

Pembunuhan Bhaumik telah menjadikan jumlah wartawan yang terbunuh di India sejak awal 1990 seramai 30 orang, menurut kepada angka dari Committee to Protect Journalist­s.

India telah dinyatakan sebagai negara paling berbahaya di Asia bagi wartawan oleh Reporters Without Borders pada 2015.

Pada April, kumpulan kebebasan media telah meletakkan India pada tempat ke 136 dari 180 buah negara dalam kedudukan kebebasan media dunia.

Di sebalik kritikan, Perdana Menteri Narendra Modi telah beberapa kali menyuaraka­n komitmen beliau bagi kebebasan media. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia