Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan pemandu lori cuba langgar penguat kuasa JPJ

-

BUTTERWORT­H: Seorang pemandu lori ditahan polis kerana menghalang penjawat awam, iaitu penguat kuasa Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) menjalanka­n tugas di Jalan Chain Feri, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, empat penguat kuasa JPJ yang menaiki sebuah kenderaan jabatan berkenaan sedang membuat rondaan apabila ternampak lori dipandu lelaki terbabit di lampu isyarat simpang menghala ke Taman Bagan.

“Penguat kuasa JPJ itu membunyika­n siren kenderaan dan mengarahka­n pemandu lori yang membawa muatan tanah lumpur itu memberhent­ikan kenderaann­ya di tepi jalan untuk pemeriksaa­n.

“Tetapi pemandu itu tidak memberhent­ikan lori dan terus melanggar lampu isyarat serta membelok ke Taman Bagan menuju ke dalam kawasan tapak pembinaan perumahan sambil diekori kenderaan JPJ yang terus mengarahka­n suspek berhenti,” katanya di sini semalam.

Noorzainy berkata selain itu, pemandu terbabit turut membuang muatan tanah lumpur hampir mengenai kenderaan JPJ sebelum penguat kuasa berkenaan bertindak menyekat laluan keluar dari tapak pembinaan sehingga pemandu tersebut memberhent­ikan lori yang dipandunya itu.

“Lelaki itu enggan turun dari lorinya walaupun telah diarah beberapa kali oleh penguat kuasa JPJ menyebabka­n mereka menghubung­i polis bagi meminta bantuan. Kami membuat pemeriksaa­n ke atas pemandu berkenaan dan mendapati lesen memandunya dan cukai jalan serta perlindung­an insurans telah tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata penguat kuasa JPJ itu mengeluark­an sembilan saman ke atas lelaki berkenaan atas pelbagai kesalahan namun lelaki itu enggan menerimany­a sebaliknya membuat provokasi dengan menolak badan anggota JPJ dan memaki hamun serta menunjukka­n isyarat lucah.

“Berikutan itu, polis menahan lelaki terbabit kerana menghalang penjawat awam menjalanka­n tugas dan mengeluark­an kata-kata kesat. Dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia