Utusan Borneo (Sarawak)

Everton didenda 30,000 euro akibat ‘tindakan agresif’ penyokong

-

PARIS, Perancis: Kempen buruk Everton dalam Liga Europa menjadi lebih buruk Rabu lepas apabila didenda oleh badan induk bola sepak Eropah, UEFA, sebanyak 30,000 euro selepas satu insiden di mana seorang penyokong kelab menyerang seorang pemain Lyon.

Dengan berbaki dua perlawanan, Everton berada di tangga tercorot Kumpulan E dan tidak mampu layak ke pusingan seterusnya selepas tiga kekalahan dan sekali seri dari empat perlawanan.

UEFA mendenda mereka kerana ‘tindakan agresif’ penyokong kelab terhadap pemain Lyon ketika kelab dari Perancis itu menang 2- 1 di Goodison Park pada 19 Oktober di mana penjaga gol Lyon, Anthony Lopes ditumbuk seorang penyokong yang sedang membawa anak kecil.

Rakaman video tular di media sosial dan Everton telah menggantun­g penyokong itu dari memasuki stadium selain membuat laporan polis ke atas penyokong itu.

Dalam perkembang­an lain, CSKA Moscow didenda 18,000 euro kerana penyokong mereka menceroboh padang dan membakar mercun ketika menewaskan Basel 2- 1 di gelanggang lawan dalam aksi Liga JuaraJuara pada 31 Oktober.

Denda ini dibuat sehari selepas APOEL Nicosia didenda 51,000 euro, Olympiakos ( 60,000) dan Borussia Dortmund ( 15,000) kerana insiden yang sama. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia