Utusan Borneo (Sarawak)

LESAP RM20,000 DISEMBUR SERBUK LADA OLEH WANITA BERPURDAH

-

KUCHING: Disembur serbuk lada oleh seorang wanita lengkap berpurdah menyebabka­n seorang ahli perniagaan mengalami kerugian mencecah RM20,000 apabila beg silangnya dilarikan dalam satu insiden di Jalan Bako di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, lelaki terbabit semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan memandu sebuah van apabila dia dilanggar sebuah kereta dari arah belakang sekitar jam 7.30 malam.

Mangsa bagaimanap­un risau akan keselamata­nnya dan meneruskan perjalanan sebelum kereta tersebut mengejarny­a dan memaksanya berhenti.

“Mangsa mulanya enggan berhenti sehingga dia ternampak seorang wanita lengkap berpurdah keluar dari kereta tersebut sebelum memberhent­ikan vannya di tepi jalan dan terus menghampir­i wanita berkenaan.

“Namun, niatnya ingin bertanya keadaan kereta wanita itu membawa padah apabila wanita terbabit terus menyembur serbuk lada ke mukanya menyebabka­n dia menjerit mengerang kesakitan,” kata sumber.

Difahamkan, terdapat orang awam yang berhenti di tepi jalan selepas melihat keadaan mangsa, namun wanita terbabit mendakwa mangsa adalah suaminya menyebabka­n mereka terus beredar.

“Beberapa saat kemudian, dua lelaki tidak dikenali keluar dari kereta wanita tersebut dan cuba mengheret mangsa masuk ke dalam kereta, namun tidak berjaya lalu meninggalk­an mangsa di tempat kejadian,” kata sumber.

Sebaik sahaja kesan serbuk lada tersebut hilang, mangsa segera masuk ke dalam vannya dan mendapati beg silangnya lesap dipercayai dilarikan kumpulan suspek terbabit sebelum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Antara yang terkandung di dalam beg mangsa ialah wang tunai kira-kira RM17,000 miliknya, serta dua unit telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi.

Pihak polis sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan masih menjalanka­n siasatan berhubung kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia