Utusan Borneo (Sarawak)

PDRM TIADA KUASA SIASAT KES MENDIANG CHUNG: DEV

-

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kes kematian mendiang Chung Soon Teck, 48, yang ditembak mati anggota Badan Narkotika Nasional Propinsi (BNNP) Kalimantan Barat di Entikong, Indonesia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, kes tersebut yang dilaporkan pada Sabtu lepas berlaku di luar negara dan pihaknya perlu melalui saluran diplomatik untuk mendapatka­n butiran lanjut.

Sungguhpun begitu, katanya, pihaknya melalui Interpol Bukit Aman akan mengemukak­an perkara tersebut kepada Wisma Putra untuk berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia.

“Adalah di luar bidang kuasa PDRM untuk menyiasat kes ini kerana ia berlaku di luar negara.

“Justeru, kita telah memaklumka­n kepada Interpol Bukit Aman untuk memberitah­u kepada Wisma Putra yang akan bertindak mendapatka­n butiran lanjut mengenai kes tersebut daripada pihak berkuasa Indonesia iaitu melalui saluran diplomatik,” jelas Dev.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam mengulas berhubung rintihan keluarga mendiang yang mahukan perjelasan selepas proses bedah siasat mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) masih gagal dijalankan.

“Keluarga mangsa dikatakan mengadu apabila tiada bedah siasat dilakukan ke atas mayat mendiang kerana dikatakan belum mendapat kebenaran polis.

“Kami menasihatk­an ahli keluarga mendiang untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapatka­n perintah mahkamah,” katanya yang menegaskan adalah di luar bidang kuasa mereka untuk memberikan kebenaran bedah siasat dilakukan terhadap mayat mendiang.

Mendiang Chung, ahli perniagaan yang terlibat dengan perniagaan jual beli kenderaan, semasa kejadian dikatakan bersama tiga rakannya pergi ke negara jiran tersebut untuk bercuti.

Menurut satu portal berita, mendiang ditembak ketika cuba melarikan diri daripada diberkas anggota BNNP dalam satu operasi khas menahan pengedar dadah di Entikong, Indonesia pada Sabtu lalu.

Ketua BNNP Kalimantan Barat, Brigedir Jeneral Nasrullah dipetik dalam portal tersebut mendakwa, Chong memandu pacuan empat roda (4WD) bersendiri­an dengan membawa tiga kilogram syabu menuju ke Pontianak, melalui sempadan Entikong.

“Sebaik melepasi sempadan Entikong, 4WD suspek ditahan anggota BNNP Kalimantan Barat.

“Suspek bersama bahan bukti kemudian dibawa ke Pontianak, namun ketika dalam perjalanan, berlaku pergelutan antara suspek yang cuba melarikan diri menyebabka­n anggota penguat kuasa terpaksa melepaskan tembakan dan suspek disahkan mati serta-merta,” katanya yang dipetik.

Nasrullah memberitah­u, turut ditahan ialah tiga rakan Chong yang merupakan warga Indonesia dalam tangkapan berasingan.

 ??  ?? DEV
DEV

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia