Utusan Borneo (Sarawak)

Rumah hampir roboh, hanyut pasangan tua perlu bantuan

-

MIRI: Kerja pembaikan segera diperlu mengelak rumah kayu pasangan suami isteri warga emas kawasan setinggan Pujut Empat di sini roboh dan hanyut dalam sungai.

Ketika lawatan minggu lalu Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pujut, Bruce Chai mendapati bahagian tengah rumah Chai Sin Joon, 60 tahun dan isteri, Sitel Nuga 61 tahun rosak teruk.

“Kerana rosak bahagian tengah, rumah mereka dalam bentuk huruf V. Kita takut rumah boleh runtuh bila-bila masa sahaja jika tidak dibaiki segera, “jelasnya.

Kedua-dua mereka yang berasal dari Batu Niah, telah mendiami rumah usang yang didirikan di atas sungai Baong lebih 10 tahun.

Ketika diambil maklumat, isteri terpaksa berhenti kerja mencuci pinggan mangkuk di sebuah kedai kopi di Pujut Tujuh untuk menjaga suaminya yang sukar berjalan kerana sakit kaki.

Selain itu, Sitel yang kini mengalami masalah ketumbuhan dalam perut juga perlu menjalani pembedahan.

“Dia ( Sitel) takut, bila dia tiada di rumah, tiada siapa akan menjaga suaminya kerana mereka tidak mempunyai anak dan saudara-mara di sini.

Dia takut suaminya akan jatuh dan lemas ke dalam sungai sekiranya rumah mereka tiba runtuh,” jelas Bruce.

Kedua- dua mereka juga belum bersetuju untuk berpindah ke rumah jagaan warga emas walaupun tahu mereka berdepan bahaya mendiami rumah itu.

“Apa yang kita (UPP) dapat buat sekarang ialah memastikan kediaman mereka berada dalam keadaan selamat.

Kita akan cuba membantu mereka membuat permohonan mendapat tapak tanah di Tudan Desaras tetapi ini akan melibatkan banyak proses, “jelasnya.

Bruce berkata, Persatuan Chai Clan Miri akan membantu memperbaik­i kerosakan memastikan rumah dalam keadaan selamat untuk didiami.

Mereka turut menderma barangan keperluan dapur seperti minyak masak, beras dan makanan tin.

Pertubuhan kebajikan dari Semenanjun­g Malaysia, Kebajikan Amal Shan Xin Malaysia turut datang ke Miri melawat pasangan ini.

Mereka menghulurk­an bantuan perbelanja­an harian dan bantuan perubatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia