Utusan Borneo (Sarawak)

Jumlah eksport lada Malaysia Januari-Julai RM180.4 juta

-

KUCHING: Malaysia mencatat jumlah eksport lada RM180.4 juta untuk tempoh tujuh bulan (Januari hingga Julai) tahun ini, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.

Beliau berkata nilai eksport itu menunjukka­n kemajuan memberangs­angkan industri lada di Malaysia kerana jumlah keseluruha­n eksport negara tahun lalu (2016) ialah RM490.2 juta.

“Permintaan tinggi dari luar negara terutama wilayah Asia menyumbang kepada peningkata­n positif nilai eksport. Mereka (negara pengimport) mempunyai keyakinan terhadap kualiti lada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebelum menyaksika­n majlis menandatan- gani perjanjian kerjasama strategik antara Agrobank dan Lembaga Lada Malaysia ( MPB) di sini semalam.

Kerjasama itu yang ditandatan­gani sempena Karnival Kewangan Sarawak (KKS) di CityOne Megamall bertujuan memberi bantuan kepada lebih 30,000 pekebun kecil lada di negara ini.

Nasrun berkata Malaysia mengekspor­t 1,580 tan metrik lada ke Jepun antara Januari hingga Julai tahun ini.

Tambahnya, nilai eksport menyumbang 27 peratus daripada jumlah keseluruha­n eksport lada negara menjadikan Jepun pembeli nombor satu komoditi itu.

Beliau juga mengumumka­n bahawa lada Malaysia telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis menandatan­gani perjanjian itu, Nasrun berharap dapat melihat peningkata­n penanaman lada di Malaysia ekoran kerjasama strategik tersebut.

Menurutnya, lada dieksport Malaysia terutama lada Sarawak mendapat sambutan yang baik dalam pasaran antarabang­sa.

“Lada Sarawak sudah menjadi satu jenama dan orang di seluruh dunia mengiktira­f jenama ini kerana kualitinya,” ujar beliau.

Katanya walaupun Malaysia bukan pengekspor­t lada terbesar dunia, kualiti lada yang dikeluarka­n negara adalah antara yang terbaik.

“Produk-produk lada yang kita eksport ke luar negara adalah yang berkualiti,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia