Utusan Borneo (Sarawak)

Pekerja kontrak pemasangan paip maut tertimbus runtuhan tanah

-

KUANTAN: Seorang pekerja kontrak maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek biogas di Kilang Sawit Keratong 2, Muadzam Shah petang kelmarin.

Kejadian berlaku kirakira jam 3 petang kelmarin ketika Nordan Wahid, 39, bersama-sama dua rakannya termasuk seorang pemandu jengkaut sedang melakukan kerja mengorek tanah bagi membina longkang sedalam 4.3 meter untuk pemasangan paip ‘overflow’.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd Noor ketika dihubungi di sini semalam, berkata mangsa yang berasal dari Bera sedang membuat kerja pemasangan paip itu bersama seorang rakan apabila tiba-tiba tanah tebing longkang runtuh.

Mangsa tertimbus manakala rakannya sempat menyelamat­kan diri dan menghubung­i pihak berkuasa, katanya.

Azli berkata operasi mencari mangsa melibatkan 37 pegawai dan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Muadzam Shah.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan dalam keadaan cuaca hujan dan pada peringkat awal jengkaut digunakan bagi mengalih tanah runtuh itu.

“Namun usaha itu dilakukan secara manual kemudian kerana bimbang jengkaut akan terkena mangsa,” katanya,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa berjaya ditemui pada 9.27 malam kelmarin dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia