Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki mencuri duit tabung masjid ditahan

-

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang disyaki mencuri duit tabung masjid sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) ditahan oleh jemaah Masjid Jamek Sungai Rambai, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika ke masjid itu untuk mencuri duit dalam tabung di bahagian ruang solat wanita.

“Lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai mencuri wang tabung masjid itu awal pagi Sabtu membabitka­n kerugian RM3,000 dan dia sekali lagi datang semalam (kelmarin) untuk mencuri lagi.

“Berdasarka­n rakaman CCTV lelaki itu bersama seorang rakannya tetapi dia (rakannya) sempat melarikan diri ketika jemaah di situ cuba menangkap mereka semalam (kelmarin),” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti identiti lelaki terbabit dan berdasarka­n siasatan mereka dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam 10 kes curi duit tabung masjid di SPU dan SPT sejak dua bulan lepas.

Nik Ros Azhan berkata, kedua- dua lelaki terbabit juga terlibat dalam kes curi motosikal dan susulan penahanan lelaki itu polis merampas sebuah motosikal yang dilapor hilang di Perai baru-baru ini.

“Mereka menjadikan sebuah rumah sewa di Bukit Mertajam sebagai tempat menyimpan komponen motosikal yang telah dilerai sebelum menjualnya kepada pembeli,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia