Utusan Borneo (Sarawak)

Orang ramai dijemput meriahkan sambutan Maulidur Rasul

-

KUCHING: Orang ramai termasuk masyarakat bukan Islam dijemput hadir memeriahka­n Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri pada 30 November hingga 1 Disember 2017 di sini.

Menurut Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, sambutan Maulidur Rasul kali ini dimulakan dengan Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulid pada malam 30 November di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Sementara, pada keesokan paginya, kata beliau, Majlis Perhimpuna­n dan Perarakan Maulidur Rasul diadakan di Dataran Perayaan, Jalan Stadium di sini.

“Kedua-dua majis ini akan dihadiri Pemangku Yang diPertua Negeri Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor dan isteri, Puan Sri Dato Sri Dayang Lela Abang Zawawi serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan isteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri bertemakan ‘ Kesatuan Ummah Kesejahter­aan Negara’ di Aras 16, Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam. Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.

Dr Abdul Rahman berkata, tujuan sambutan itu diadakan bagi memperinga­ti kembali peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW selain merapatkan slaturahim masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Justeru katanya, beliau menggalakk­an warga Kuching serta masyarakat bukan Islam termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk datang sambil memberi sokongan kepada acara tersebut.

Bercakap lanjut mengenai majlis Perhimpuna­n dan Perarakan Maulidur Rasul, Dr Abdul Rahman berkata, setakat ini, sebanyak 130 kontinjen membabitka­n lebih 5,000 peserta akan menyertai perarakan itu yang diadakan bermula jam 7 pagi.

“Ada lapan kategori penyertaan iaitu melibatkan agensi kerajaan, badan berkanun, masjid atau surau, IPT, sekolah kebangsaan, agensi Islam, Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung ( JKKK) dan sebagainya,” katanya.

Daripada jumlah penyertaan itu katanya, seramai 7,000 hingga 8,000 orang dijangka hadir ke acara perarakan tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia