Utusan Borneo (Sarawak)

Peminjam disenarai hitam diminta berunding dengan PTPTN

-

LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta peminjam yang disenarai hitam supaya berunding dengan pihaknya selewat-lewatnya tujuh hari bagi mengelak masalah berlaku sebelum berlepas ke luar negara.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata rundingan itu bagi membolehka­n persetujua­n dapat dicapai untuk menjelaska­n bayaran pinjaman PTPTN selain menyenarai­putihkan nama peminjam terbabit.

“Sekiranya tidak mampu membayar keseluruha­n tunggakan, PTPTN menyediaka­n kaedah penstruktu­ran semula pinjaman bagi meringanka­n beban kewangan peminjam.

“Melalui kaedah ini juga, ansuran bulanan peminjam boleh dikurangka­n melalui pemanjanga­n tempoh bayaran balik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Kepengguna­an Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) Perak di Dewan Merdeka Lenggong di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali Selasa lepas (28 Nov) mengenai seramai 447,890 PTPTN yang disenarai hitam Jabatan Imigresen kerana tidak membayar semula pinjaman dan merupakan golongan terbesar yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Shamsul Anuar berkata langkah menyenarai hitam peminjam melalui Jabatan Imigresen bukan langkah yang baharu kerana ia telah dilaksanak­an oleh PTPTN sejak tahun 2008 dan ia antara langkah terakhir setelah pelbagai langkah lebih mesra pelanggan gagal.

Katanya ia juga dilakukan terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan daripada tarikh sepatutnya mula membayar semula pinjaman selepas tamat belajar.

“Peminjam yang masih kekal dalam senarai hitam seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Imigresen adalah mereka yang belum membuat sebarang rundingan dengan PTPTN,” katanya.

Beliau berkata sehingga 31 Okt lepas, seramai 487,091 iaitu 51.3 peratus daripada keseluruha­n peminjam yang disenarai hitam telah berunding dengan PTPTN dan memulakan bayaran balik pinjaman secara konsisten mengikut kemampuan.

“Ia telah melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM1.54 bilion. Setakat ini, PTPTN telah mengeluark­an RM51.6 bilion kepada peminjam dan pihaknya perlu mendapatka­n balik pinjaman untuk diberikan kepada 200,000 pelajar baharu dengan kos RM4 bilion setiap tahun dan 600,000 kepada pelajar sedia ada,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mewujudkan perkhidmat­an cawangan PTPTN di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang beroperasi 24 jam termasuk pada hujung minggu dan cuti umum bagi membantu peminjam yang mempunyai masalah untuk ke luar negara.

“Peminjam boleh menghubung­i talian di KLIA2 iaitu 017-249 3000/017-276 3000/017-285 3000, selain talian Careline 03-2193 3000 bagi rundingan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia