Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga gereja di Ranau terima sumbangan RM180 ribu

-

RANAU: Tiga gereja di daerah ini menerima sumbangan sebanyak RM180 ribu daripada kerajaan Persekutua­n yang telah diserahkan oleh Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin dalam tiga majlis berasingan.

Penerima sumbangan pertama ialah Gereja Katolik St Pius Bundu Tuhan sebanyak RM50 ribu yang akan digunakan untuk membina bangunan tambahan pentas terbuka bagi acara persembaha­n ketika perayaan Krismas, hari paroki dan sebagainya.

Gereja Sidang Injl Borneo (SIB) Kampung Paus pula menerima sumbangan sebanyak RM80 ribu bagi menyiapkan pembinaan bangunan gereja berukuran 80 x 50 kaki yang sebelum itu telah didirikan umat kampung itu secara bergotongr­oyong dengan perbelanja­an sebanyak RM95 ribu.

Sementara sumbangan sebanyak RM50 ribu lagi telah diberikan kepada Gereja Katolik St Victor Kampung Bongkud bagi pembinaan pagar konkrit gereja berkenaan.

Dalam ucapan ringkas pada majlis penyerahan sumbangan itu, Ewon berkata kesemua peruntukan itu telah diperolehi selepas beliau bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bagi menyampaik­an beberapa permohonan peruntukan oleh gereja-gereja seluruh Ranau.

Katanya, beberapa permohonan lagi oleh gereja-gereja di daerah ini telah pun beliau sampaikan kepada pihak kerajaan dan berharap agar kesemua permohonan itu mendapat respons yang positif dalam masa terdekat.

Menurut beliau, masyarakat Kristian agak beruntung kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang pernah penuntut di sekolah mubaligh semasa sekolah rendah. Sebagai bekas pelajar sekolah mubaligh, Perdana Menteri tentunya sedar akan keperluan pihak gereja.

“Saya tahu banyak lagi keperluan pihak gereja khususnya di kawasan Ranau yang perlu dibantu dan saya akan terus berusaha mengemukak­an keperluan itu kepada Perdana Menteri dari semasa ke semasa agar diberikan pertimbang­an yang sewajarnya,” katanya.

Semasa majlis di Bundu Tuhan, Paderi Paroki Fr Michael Modoit mengucapka­n terima kasih kepada pihak kerajaan yang sudi menghulurk­an sumbangan bagi pembanguna­n gereja dan umatnya.

Katanya, sebagai institusi agama yang memang tidak mempunyai sumber utama dalam pembanguna­n gereja maka, sudah pastinya mereka memerlukan sumbangan sedemikian.

“Umat Kristian khususnya Katolik di daerah ini amat bertuah kerana mempunyai seorang ahli parlimen beragama Katolik seperti Datuk Ewon yang berusaha sedaya upaya mencari sumbangan bagi pembanguna­n gereja,” katanya.

Ketika majlis di Kampung Paus, beberapa ahli majlis Gereja SIB telah melakukan upacara pemberkata­n kesejahter­aan ke atas Ewon, isterinya Datin Danna Ontol serta keluargany­a dalam menjalanka­n semua tugas mereka terutamany­a untuk kepentinga­n masyarakat umum.

Sementara di Gereja St Victor Bongkud, Pengerusi Komiti Umat Katolik (KUK) Cosmas Subil menganggap sumbangan itu sebagai rahmat yang Tuhan berikan kepada umat Katolik di situ dan berharap usaha murni Ewon juga akan diberkati Tuhan.

Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Khas Parlimen Japirin Sahadi dan Setiausaha Parlimen Dallius Ubin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia