Utusan Borneo (Sarawak)

Semangat sepasukan bantu raih kejayaan: Shalin Zulkifli Skuad boling wanita negara rangkul emas pada Kejohanan Boling Dunia

-

KUALA LUMPUR: Pemain senior, Shalin Zulkifli menyifatka­n usaha dan semangat sepasukan membantu pasukan tenpin boling wanita negara meraih semula pingat emas acara berpasukan pada Kejohanan Boling Dunia, selepas 10 tahun.

“Rasa bersyukur sangat atas kemenangan ini, kami berusaha sedaya upaya dan berjaya meraih kembali kejayaan.

“Selepas kejayaan di Sukan SEA (acara berpasukan), kali ini kejayaan di Kejohanan Dunia pula. Alhamdulil­lah, rezeki kami,” kata pemain berusia 39 tahun itu kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp.

Kejayaan diraih awal pagi tadi (waktu Malaysia) adalah ketiga buat pasukan boling wanita negara dan juga buat Shalin secara peribadi, selepas kali pertama memenangin­ya pada 2003 dan 2007.

Pada 2003 di Kuala Lumpur, kejayaan diraih bersama Sarah Yap, Wendy Chai, Sharon Chai dan Choy Poh Lai, manakala kejayaan pada 2007 di Monterrey, Mexico, pula bersama-sama Esther Cheah, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Wendy Chai dan Sharon Koh.

“Kali ini rakan sepasukan berbeza kecuali Esther. Semua kemenangan memberi makna yang istimewa. Kami menang tiga kali...2003, 2007 dan 2017,” kata Shalin sambil menambah bahawa saingan pada Kejohanan Dunia kali ini sememangny­a sengit.

Pada saingan berlangsun­g di Pusat Boling South Point, Las Vegas, Amerika Syarikat itu, Shalin yang berganding­an dengan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Natasha Roslan dan Esther Cheah, terlebih dahulu terpaksa berdepan tentangan sengit pasukan Colombia dalam saingan separuh akhir.

Buat pertama kalinya dalam kejohanan berkenaan, format Baker digunakan pada separuh akhir dan final, yang mana di bawah sistem ini, semua lima pemain akan bermain untuk skor satu perlawanan.

Malaysia yang terikat 1-1 (198-207, 248-168) berjaya mengatasi Colombia dengan perbezaan satu pin pada perlawanan penentuan dengan 182-181.

Dalam saingan akhir pada hari yang sama (Ahad), Malaysia berjaya menewaskan musuh tradisi Singapura, 2-0 (214-209; 188-177).

Secara keseluruha­n untuk edisi kali ini, selain pingat emas acara berpasukan wanita, Shalin yang berganding­an dengan Li Jane meraih perak dalam acara beregu wanita manakala Siti Safiyah Amirah turut meraih perak dalam kategori keseluruha­n wanita.

Selepas ini, Shalin, Li Jane dan Siti Safiyah Amirah serta Ahmad Muaz Mohd Fishol akan meneruskan saingan dalam kategori Masters, masing-masing dalam kategori wanita dan lelaki. — Bernama

Rasa bersyukur sangat atas kemenangan ini, kami berusaha sedaya upaya dan berjaya meraih kembali kejayaan. Shalin Zulkifli Pemain senior

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia