Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak Energy serah biasiswa kepada 99 penerima, bangun bakat Sarawak

-

KUCHING: Sarawak Energy semalam menyampaik­an biasiswa kepada 99 penerima sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam membangun bakat dan tenaga kerja Sarawak yang kompeten.

Daripada jumlah tersebut, 85 merupakan pelajar muda Sarawak yang diterima untuk menyambung pengajian di pelbagai institusi pengajian tinggi dalam pelbagai kursus dan jurusan.

Manakala, 14 lagi penerima terdiri daripada kalangan pekerja Sarawak Energy sendiri yang mendapat tawaran untuk melanjutka­n pengajian dalam pelbagai jurusan di institusi pendidikan yang berlainan secara separuh masa.

Biasiswa disampaika­n oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Energy Sharbini Suhaili pada satu majlis ringkas di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Sharbini berkata biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang layak untuk melanjutka­n pengajian mereka kerana pelaburan sosial dalam pendidikan adalah pelaburan terjamin bagi masa depan Sarawak.

Biasiswa ini, katanya, juga terbuka kepada kakitangan untuk memperkasa keupayaan mereka selari dengan fokus utama Sarawak Energy iaitu kecemerlan­gan pengurusan bakat.

Setakat ini, katanya, seramai 49 pekerja Sarawak Energy dan 314 pelajar telah ditawarkan dengan biasiswa ini sejak diperkenal­kan pada 2014.

“Saya berharap para penerima biasiswa ini akan menggunaka­n peluang ini untuk membangun diri masing-masing kepada individu berbakat bagi menyumbang kepada kemajuan Sarawak.

“Dunia kini membangun dengan pantas dan masyarakat terutama rakyat Sarawak perlu mengikuti perkembang­an teknologi terkini,” katanya sambil menambah Sarawak Energy memerlukan bakat-bakat sedemikian untuk menjadi antara syarikat utiliti terbaik di rantau ini.

Sharbini turut berharap penerima biasiswa muda akan mempertimb­angkan Sarawak Energy sebagai kerjaya pilihan mereka selepas menamatkan pengajian nanti.

Selain program biasiswa, Sarawak Energy juga mengadakan program penempatan latihan industri dan duta kampus bagi menarik dan melatih bakat-bakat muda terbaik untuk berkhidmat bersama syarikat itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia