Utusan Borneo (Sarawak)

Lagi runtuhan tanah, penduduk Luing Layar terputus hubungan

-

BETONG: Beberapa kawasan di Betong terus menerima kesan akibat hujan turun lebat beberapa hari lalu apabila jalan ke rumah panjang Luing Layar dekat sini runtuh menyebabka­n penduduk terputus hubungan.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah(PPAD) Betong, Leftenan Muda (PA) Desem Samuel, rumah 20 pintu dihuni seramai 155 penduduk itu sukar untuk bergerak keluar akibat runtuhan jalan utama yang juga jalan simen rosak teruk.

“Kesemua kenderaan berat termasuk pacuan empat roda tidak dapat melalui jalan tersebut kecuali kenderaan jenis motosikal.

“Namun kita menasihatk­an penduduk berhati-hati jika melalui kawasan tersebut bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang Operasi Bantu yang dijalankan kelmarin.

Tambahnya, penduduk memaklumka­n tanah berkenaan susur sejak beberapa hari lalu dan semakin teruk sehingga tidak dapat dilalui.

“Mereka juga memberitah­u, sebelum daripada itu jalan tersebut telah lama rosak namun tidak kritikal kerana dapat dibaiki oleh penduduk kampung sendiri,” jelasnya.

“Apapun pasukan kami yang turut dibantu dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Sarikei yang datang bersama menyertai operasi Ops Bantu dan memantau keadaan struktur jalan dan rumah panjang tersebut,” katanya.

Beliau juga menasihati penduduk setempat agar berhati-hati dan bertindak menghubung­i pasukan pengurusan Bencana Daerah untuk membantu jika ada sebarang musibah di kawasan masing-masing di talian 083472861.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia