Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan cabar pelantikan ketua hakim negara ditetapkan pada 14 Feb

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 14 Feb depan untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n.

Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Mohamed Hanipa Maidin, mewakili Abang Ahmad Kerdee serta Peguam Kanan Persekutua­n Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Md Raus selaku responden.

Mohamed Hanipa ketika ditemui pemberita berkata pihak responden membantah permohonan anak guamnya atas alasan permohonan itu tidak mempunyai locus standi dan tidak boleh disemak di mahkamah kerana pelantikan Md Raus dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peguam itu berkata beliau pula berhujah bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu dan bukan sahaja parti AMANAH mempunyai hak di sisi perlembaga­an untuk memfailkan semakan malah semua rakyat Malaysia berhak berbuat demikian.

Berhubung isu ‘Writ Quo Warranto’, Mohamed Hanipa berkata permohonan itu difailkan bukan untuk mencabar orang yang melantik, tetapi mencabar orang yang dilantik.

Abang Ahmad Kerdee selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 Nov lepas bagi menuntut deklarasi mengatakan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembaga­an Persekutua­n adalah tidak sah, tidak berperlemb­agaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Pemohon juga menuntut agar diberi kebenaran mendapatka­n ‘Writ Quo Warranto’ supaya responden menunjukka­n sebab dan memberikan pengesahan bagaimana dan apakah asas responden memegang jawatan berkenaan.

Beliau juga menuntut perintah certiorari membatalka­n pelantikan responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n dan ketua hakim negara, juga perintah injunksi bagi menghalang responden dan atau ejen beliau melaksanak­an tanggungja­wab, fungsi dan tugas beliau sama ada sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n atau ketua hakim negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia