Utusan Borneo (Sarawak)

Iktiraf Baitulmuqa­ddis ibu negara Israel cabuli hak rakyat Palestin

-

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Donald Trump mengiktira­f Baitulmuqa­ddis sebagai ibu negara Israel dan memulakan rancangan untuk memindahka­n kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke bandar suci yang menjadi rebutan sengit itu merupakan perbuatan yang secara terang-terangan mencabuli hak rakyat Palestin.

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidik­an dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata langkah itu adalah antara perbuatan paling keji, tidak adil dan jijik yang pernah dilakukan sebuah kuasa dunia berkaitan proses damai Palestin-Israel.

“CENTHRA mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya langkah Presiden Trump yang barangkali ingin mengotakan janjinya semasa berkempen sebagai calon presiden tahun lepas.

“Malah, janji itu tidak seharusnya dibuat kerana status muktamad bandar suci itu hanya semata-mata bergantung pada persetujua­n akhir yang dicapai dalam rundingan damai antara Palestin dan Israel,” kata peguam itu dalam kenyataan semalam.

Baitulmuqa­ddis adalah bandar raya yang dianggap suci bagi tiga agama dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Bagi umat Islam, Baitulmuqa­ddis adalah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Sehubungan itu, Azril menyeru Majlis Keselamata­n Bangsa-Bangsa Bersatu supaya campur tangan dan menegaskan sekali lagi tentang kedudukan Baitulmuqa­ddis sebagai perkara yang tertakluk kepada persetujua­n muktamad yang dicapai antara Palestin dan Israel, sejajar dengan undang-undang antarabang­sa dan prinsip hak asasi manusia sejagat.

“CENTHRA juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan mesyuarat tentang isu itu serta mengambil langkah drastik dan tegas susulan langkah AS tersebut, termasuk mengkaji semula dan jika perlu, menurunkan taraf atau memutuskan hubungan dengan AS berhubung perkara sama.

“AS perlu disedarkan bahawa tindakan terbarunya berhubung perkara itu mempunyai kesan yang tidak boleh dipandang ringan,” tegas beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia