Utusan Borneo (Sarawak)

‘ BERGASAK’ SAMPAI MATI

Lelaki sahut cabaran rakan sekerja mati dalam insiden dipercayai akibat salah faham.

- Oleh Jeremy Lanson

KUCHING: Pantang dicabar, nyawa seorang lelaki warga asing melayang apabila dia menyahut cabaran rakan sekerjanya untuk beradu tenaga di dalam biliknya selepas berlaku perselisih­an faham di antara mereka, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 10 malam di sebuah rumah pekerja di sebuah tapak pembinaan di sini apabila mangsa, Agustinus, 22, pergi ke bilik suspek yang merupakan warga tempatan berusia 26 tahun.

Difahamkan, suspek yang berasal dari Sibu kemudian mengunci pintu biliknya sebelum mereka berdua ‘bergasak.’

“Kira-kira lima minit kemudian, rakan-rakan mereka yang menyedari insiden tersebut memecah masuk bilik suspek dan mendapati mangsa terbaring kaku dengan mukanya berlumuran darah dipercayai akibat ditumbuk.

“Mereka kemudian segera menahan suspek dan terus menghubung­i pihak polis dan hospital untuk bantuan kecemasan,” kata sumber.

Mangsa yang berasal dari Indonesia itu bagaimanap­un disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Padawan Superinten­den Aidil Bolhassan ketika dihubungi mengesahka­n kejadian tersebut dan memberitah­u suspek yang juga memiliki rekod jenayah lampau kini berada dalam tahanan polis.

“Sebelum kejadian, mereka (suspek dan mangsa) serta beberapa rakan minum minuman keras sejak jam 5 petang.

“Dikatakan berlaku perselisih­an faham akibat rasa tidak puas hati yang menyebabka­n suspek mencabar mangsa untuk pergi ke biliknya.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku bergaduh dengan mangsa dan dia bertindak menumbuk serta turut menendang dadanya menggunaka­n lutut sebelum bertindak mencekik mangsa sehingga dia tidak sedarkan diri,” kata Aidil.

Menurut Aidil, suspek yang turut mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatka­n rawatan.

“Suspek telah ditangkap dan dibawa ke HUS untuk rawatan. Sementara mayat mangsa telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat,” kata Aidil.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 ??  ?? CEDERA: Suspek dihantar ke HUS untuk mendapatka­n rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. MATI: Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. SIASAT: Polis menjalanka­n siasatan di tempat kejadian.
CEDERA: Suspek dihantar ke HUS untuk mendapatka­n rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. MATI: Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. SIASAT: Polis menjalanka­n siasatan di tempat kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia