Utusan Borneo (Sarawak)

Polis sahkan kematian Yeong berpunca daripada kecederaan dialaminya

-

MIRI: Polis mengesahka­n bahawa kematian mangsa bunuh, Yeong Musa, 52, adalah berpunca daripada kecederaan dialami di bahagian leher dan dada akibat jatuh dari tempat tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Datuk Dev Kumar ketika dihubungi semalam mengesahka­n perkara itu.

Katanya hasil bedah siasat dilakukan ahli patologi ke atas mayat mangsa pada 6 Disember lalu mengesahka­n mangsa mati akibat kecederaan dialami di leher dan dada kerana jatuh dari tempat tinggi.

Bagaimanap­un, beliau enggan membuat spekulasi sama ada mangsa masih hidup atau sebaliknya ketika dicampakka­n ke sungai pada 30 November lalu.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahka­n seorang lagi suspek berusia 31 tahun ditangkap untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh tersebut.

Katanya suspek kedua itu merupakan seorang penganggur dan kawan kepada suspek utama ditangkap sekitar jam 5.15 petang pada 9 Disember lalu di hadapan sebuah bangunan di Blok 3 Estet Perindustr­ian Piasau di sini.

“Justeru dengan penangkapa­n suspek terbabit, kita berharap mendapat lebih banyak petunjuk menjurus kepada pembunuhan itu sekali gus mengetahui peranannya dalam kes ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, suspek kedua kini menjalani reman tujuh hari sehingga 17 Disember ini di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 pagi, pada 2 Disember lalu, seorang nelayan dalam perjalanan pulang ke rumah terjumpa mayat seorang wanita terapung dengan kepala dibungkus menggunaka­n guni dan diikat di pinggang.

Pada 3 Disember, polis mengenal pasti identiti mayat itu sebagai Yeong Musa, 52, berasal dari Mukah setelah berjaya mengesan laporan polis berhubung kehilangan dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Mukah.

Mayat mangsa dicam oleh anak lelakinya berdasarka­n pakaian dipakai dan tanda lahir pada badan mangsa.

Manakala jam 7.30 pagi, 4 Disember lalu di hadapan sebuah premis di Pusat Komersil Pelita, polis menahan suspek utama berusia 25 tahun yang juga merupakan teman lelaki mangsa kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas kereta suspek untuk dijadikan barang kes kerana dipercayai sebagai tempat terakhir mangsa berada sebelum mayatnya dicampakka­n ke sungai.

Sementara itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri petang semalam, diperintah­kan direman lanjut tujuh hari sehingga 18 Disember ini.

Perintah itu dikeluarka­n Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarka­n permohonan reman lanjut dikemukaka­n pegawai penyiasat jenayah kanan, ASP Dorairajah Vanaltham.

Terdahulu dalam permohonan­nya, Dorai memberitah­u bahawa reman lanjut tujuh hari ke atas suspek amat diperlukan bagi membolehka­n polis mengesan barang kes melakukan kawad cam dan melengkapk­an siasatan lanjut berhubung kes ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia