Utusan Borneo (Sarawak)

PDK Sarawak perlu lebih ramai jurupulih terlatih

-

MUKAH: Pusat Dalam Kumuniti (PDK) Sarawak memerlukan lebih ramai jurupulih terlatih.

Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi inisiatif tersebut kerajaan negeri telah meluluskan pertambaha­n jurupulih pada tahun depan.

“Perkhidmat­an jurupulih ini amat penting untuk setiap PDK di Sarawak untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya pada Majlis Sejambak Kasih Krismas di Stadium Perpaduan Dalat kelmarin.

Menurut beliau, khidmat berkenaan merangkumi fisioterap­i, terapi pekerjaan dan terapi bahasa.

Sehingga kini katanya, Sarawak hanya mempunyai lapan jurupulih dan tujuh lagi akan ditambah pada 2018.

“Ini untuk mengurangk­an lagi nisbah jurupulih berbanding jumlah OKU di PDK seluruh Sarawak,” jelasnya.

Walaupun PDK sebelumnya mempunyai kerjasama dalam hal ini dengan Jabatan Kesihatan, namun terbatas ekoran tenaga dan kepakaran tersebut dikongsika­n.

Menerangka­n dengan lebih lanjut, jurupulih yang dimaksudka­n kini bertugas membantu OKU di PDK mengikut zon yang telah ditetapkan.

Sebelumnya, mengenai bantuan kepada golongan memerlukan, Fatimah mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaika­nnya malah di bawah Bajet 2018, terdapat penambahan amaun ketara kepada beberapa kategori penerima.

Beliau turut menyatakan terdapat geran khas untuk membantu golongan yang mempunyai keupayaan untuk berdikari.

“Kita ada geran yang bernilai maksimum RM5,000 untuk mereka yang menerima bantuan supaya boleh berdikari dengan menjadi ahli perniagaan atau perusahaan kecil-kecilan,” ujarnya.

Selain membantu, ia turut dilihat sebagai usaha agar golongan tersebut keluar daripada garis kemiskinan dan akhirnya tidak lagi menerima bantuan bulanan.

Pada majlis itu, 200 penerima dari sekitar Dalat dan Mukah menerima wang bantuan tambahan RM100 berserta hamper bernilai RM50.

Selain Krismas, Program Sejambak Kasih turut diadakan setiap perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia