Utusan Borneo (Sarawak)

Lihat cara kerja pegawai imigresen tangani pembolosan warga asing

-

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengarahka­n Jabatan Imigresen melihat secara holistik cara kerja penguatkua­sa imigresen susulan kes pembolosan warga Bangladesh melalui sindiket terancang di Lapangan Terbang Antarabang­sa KL (KLIA) di Sepang, minggu lepas.

Melahirkan rasa kecewa dengan pembabitan pegawai Imigresen dalam kes pembolosan warganegar­a asing itu, beliau berkata tiada halangan bagi Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap petugas Jabatan Imigresen.

“Segelintir pegawai dan anggota Jabatan Imigresen masih tidak serik meskipun kes seperti ini bukan pertama kali berlaku. Nampaknya kursus kerohanian dan bina jati diri tidak berkesan untuk menghindar­kan mereka daripada terlibat dalam kegiatan pembolosan warga asing di KLIA.

Saya amat kecewa dengan sikap pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes pembolosan berkenaan meskipun sebelum ini terdapat kes pegawai Jabatan Imigresen yang dibuang kerja atas kesalahan itu,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini semalam.

Nur Jazlan, yang merupakan Yang Dipertua PEMADAM, berkata penguatkua­saan tegas dan telus daripada anggota Jabatan Imigresen, termasuk pemantauan yang menggunaka­n teknologi moden, amat penting bagi mengelakka­n pembolosan warga asing ke negara ini.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali mengesahka­n penahanan beberapa pegawainya yang dipercayai bersekongk­ol dengan ejen dan sindiket membawa masuk warga asing terutama dari Bangladesh melalui pintu masuk utama negara di KLIA. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia