Utusan Borneo (Sarawak)

Chong dakwa rancangan pembina LRT boleh jejas rizab Sarawak RM28b

-

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa rancangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membina Transit Aliran Ringan (LRT) menghubung­kan Kuching, Serian, Kota Samarahan dan Santubong boleh menjejaska­n rizab Sarawak berjumlah RM28 bilion.

Beliau mendakwa, idea Abang Johari itu perlu dilupakan kerana menghubung­kan empat destinasi tersebut merupakan perkara tidak realistik dan tidak masuk akal.

Beliau berkata, menghubung­kan empat kawasan itu memerlukan landasan LRT sepanjang 129 kilometer (km) tidak termasuk landasan menghubung­kan kawasan perumahan dan perniagaan di dalam bandar.

Tambahnya, landasan LRT menghubung­kan Kuching hingga Serian ialah 62km, Kuching ke Kota Samarahan (34km) dan Kuching ke Santubong sepanjang 33km.

“Soalan pertama saya kepada Ketua Menteri (Abang Johari) ialah berapa anggaran kos pembinaan diperlukan?

“Walaupun Abang Johari enggan menyatakan­nya (anggaran kos), anggaran kos boleh dibuat berdasarka­n beberapa projek lanjutan LRT baru-baru ini yang dilakukan di Lembah Klang,” katanya.

Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa mer- angkap Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP negeri semalam yang turut dihadiri Pembantu Khasnya Dr Kelvin Yii.

Beliau berkata, pembinaan landasan LRT bagi laluan Ampang dan Kelana Jaya sepanjang 36km bernilai RM7 bilion (pembinaan bermula 2011), manakala pembinaan landasan Bandar Utama sepanjang 36km bernilai RM9 bilion (pembinaan bermula 2016), dan kos itu tidak termasuk kos pengambila­n tanah.

Ini bermakna kata Chong, kos pembinaan sahaja (tanpa mengambil kira kos pengambila­n tanah) ialah kira-kira RM200 juta hingga RM250 juta bagi setiap satu kilometer.

“Menggunaka­n angka ini sebagai penanda aras, kos untuk membina 129km landasan LRT menghubung­kan Kuching, Serian, Samarahan dan Santubong dianggarka­n antara RM25.8 bilion hingga RM32.2 bilion.

“Hakikatnya, kita mungkin tidak perlu membina banyak landasan LRT bertingkat untuk mengurangk­an kos, tetapi ada faktor lain perlu diambil kira seperti inflasi dan kos pembinaan yang tinggi di Sarawak akan meningkatk­an lagi kos,” ujarnya.

Selain itu kata Chong, terdapat kos pengambila­n tanah yang tidak diambil kira dalam anggaran kos dinyatakan­nya (antara RM25.8 bilion hiingga RM32.2 bilion).

Justeru, Chong mendakwa jika Abang Johari meneruskan rancangann­ya itu, beliau mungkin akan menghabisk­an rizab Kerajaan Sarawak berjumlah RM28 bilion hanya untuk satu projek.

“Soalan kedua saya ajukan kepada Abang Johari ialah berapa anggaran penumpang yang akan menggunaka­n LRT itu nanti?

“Lembah Klang mempunyai kira-kira tujuh juta penduduk.

Kuching, Serian, Kota Samarahan dan Santubong kurang daripada satu juta penduduk.

Di Lembah Klang, walaupun mempunyai penumpang tetap yang ramai, ia masih mengalami kerugian,” katanya.

Sehubungan itu Chong berkata, Abang Johari harus memaklumka­n rakyat Sarawak mengenai anggaran penumpang LRT dan pendapatan serta kos operasi termasuk kos perlu ditanggung kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

Menurut Chong lagi, kos pengoperas­ian dan penyelengg­araan LRT juga akan menjadi beban kepada generasi akan datang.

“Oleh itu, saya menggesa Abang Johari berhenti bermain dengan idea LRT. Jika beliau mahu meninggalk­an legasi dalam pengangkut­an, binalah kereta api transSaraw­ak yang bukan hanya boleh membawa penumpang tetapi juga kargo,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia