Utusan Borneo (Sarawak)

AMANAH gagal dapat kebenaran cabar pelantikan ketua hakim negara

-

KUALA LUMPUR: Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus semalam gagal mendapatka­n kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n.

Peguam Kanan Persekutua­n Suzana Atan memberitah­u pemberita bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi menolak permohonan kebenaran yang difailkan Abang Ahmad Kerdee dengan alasan isu itu tidak boleh didebatkan kerana pelantikan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata hakim itu juga memutuskan bahawa permohonan tersebut tidak melepasi keperluan di bawah peruntukan undang-undang dan mahkamah memerintah­kan Abang Ahmad Kerdee membayar kos RM5,000 kepada responden iaitu Md Raus.

Suzana yang bertindak bagi pihak Md Raus berkata, demikian kepada pemberita selepas prosiding yang turut dihadiri peguam Mohamed Hanipa Maidin, mewakili Abang Ahmad Kerdee.

Abang Ahmad Kerdee selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 November lepas bagi menuntut deklarasi bahawa pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembaga­an Persekutua­n adalah tidak sah, tidak berperlemb­agaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Beliau juga menuntut perintah certiorari membatalka­n pelantikan responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n dan ketua hakim negara, juga perintah injunksi bagi menghalang responden dan atau ejen beliau melaksanak­an tanggungja­wab, fungsi dan tugas beliau sama ada sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutua­n atau ketua hakim negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia