Utusan Borneo (Sarawak)

Unit Polis Rakan Masjid ditubuhkan di Terengganu

-

KUALA TERENGGANU: Unit keselamata­n berkonsepk­an ‘Polis Rakan Masjid’ akan ditubuhkan di setiap masjid di negeri ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencegah sebarang ancaman keselamata­n terhadap jemaah yang berkunjung.

Pengerusi Jawatankua­sa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata ia sebagai langkah tambahan selain kawalan keselamata­n menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamata­n di masjid-masjid berkenaan.

“Ia perkara yang mendukacit­akan apabila terdapatny­a kes-kes kecurian berlaku terhadap jemaah di masjid- masjid, walhal sepatutnya kita datang untuk menunaikan ibadah kepada Allah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Motivasi Budaya Kerja Cemerlang dan Pemantapan Integriti Imam dan Bilal Masjid Kerajaan dan Mukim Negeri anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, di sini kelmarin.

Baru-baru ini tular insiden kecurian yang dirakam menerusi CCTV di kawasan solat jemaah wanita di sebuah masjid di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus menunjukka­n seorang lelaki menyamar sebagai jemaah wanita dan mencuri harta milik jemaah ketika semua sedang menunaikan solat subuh.

Mengulas lanjut, Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil berkata ‘Polis Rakan Masjid’ akan mengawal keselamata­n masjid terutama pada waktu subuh, Maghrib serta Isyak kerana jenayah didapati sering kali berlaku pada waktu tersebut berbanding waktu solat di siang hari (Zohor dan Asar).

Mengulas mengenai kekurangan kira- kira 800 imam di masjid negeri ini, beliau berkata kerajaan negeri akan terus melakukan sesi temu duga dari semasa ke semasa bagi mengisi kekosongan itu dalam masa terdekat.

Katanya, faktor elaun yang rendah bagi jawatan imam dan bilal mungkin menyebabka­n pihaknya sukar mendapatka­n calon yang sesuai bagi mengisi jawatan tersebut terutama di kawasan kampung.

“Tetapi kriteria untuk menjadi imam atau bilal juga bukan mudah. Kita mahu pastikan mereka ini seorang yang diterima masyarakat dan mempunyai akhlak terpuji selain ilmu agama yang mantap.

“Kita juga kena pastikan calon imam atau bilal ini tidak mempunyai agenda tersembuny­i seperti menyebarka­n ajaran yang tidak benar atau mempunyai unsur- unsur kepartian yang boleh memecahbel­ahkan masyarakat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia