Utusan Borneo (Sarawak)

Liga M: Perak kenal pasti tiga pemain import musim depan

-

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sedang mengenal pasti tiga pemain import baharu bagi memperkuat­kan barisan pemain skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2018.

Presidenny­a, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata bagaimanap­un identiti ketiga-tiga pemain itu terpaksa dirahsiaka­n bagi melancarka­n proses perbincang­an yang kini di peringkat akhir.

“Apa yang pasti dua daripada pemain import itu akan mengisi kekosongan kuota import Asia dan Asia Tenggara. Mereka juga mungkin beraksi di bahagian tengah atau pertahanan.

“Kami juga jangkakan pada awal Januari proses berkaitan pemain import ini dapat diselesaik­an,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Amanat Akhir Tahun 2017 bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Menandatan­gani Ikrar Bebas Rasuah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini semalam.

Mengulas desas-desus mengenai Perak mengekalka­n khidmat awang import, Yashir Pinto Islame, Abdul Puhat berkata perkara itu belum dimuk- tamadkan kerana pemain berasal dari Chile itu masih dalam proses pemulihan.

Katanya, proses pemulihan itu juga berada di bawah pengawasan PAFA memandangk­an pemain itu masih mempunyai kontrak bersama Perak sehingga penghujung Disember ini.

“Kami tak boleh komen sama ada kekal atau tak. Tapi kami akan bantu dia sebab dia masih dalam kontrak. Dia juga seorang pemain yang baik, cemerlang dan tak mendatangk­an masalah pada kami,” katanya.

Ditanya mengenai venue rasmi yang akan digunakan Perak, Abdul Puhat berkata perkara itu juga masih dalam pertimbang­an, namun beliau menjangkak­an Stadium Manjung atau Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut bakal menjadi pilihan.

“Stadium Manjung sedang dinaik taraf, isu sekarang tertumpu pada keadaan padang, namun kami yakin Februari ini akan siap sepenuhnya manakala TLDM tiada masalah besar cuma nak dibuat penambahba­ikan pada lampu limpah dan bilik persalinan pemain,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia