Utusan Borneo (Sarawak)

Ekuestrian: PSENS menyertai Piala Ketua Polis Negara buat julung kali

-

MIRI: Persatuan Sukan Ekuestrian Negeri Sarawak (PSENS) melangkah setapak lagi dalam sejarah sukan ekuestrian tempatan berikutan penyertaan julung kali pada Piala Ketua Polis Negara Endurance Horse Race 2017 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Pasukan PSENS diwakili oleh Cassandra Ch’ng (penunggang), Mufasa ( kuda), Adi Sebli ( jurulatih) dan Zulkifli Ahamat (pengurus pasukan).

“Meskipun kita tidak memenangi sebarang pingat namun layak bertanding sudah dianggap menang memandangk­an bukan calang-calang peserta boleh mengambil bahagian kerana syarat pertanding­an yang amat ketat.

“Peluang masuk ke kejohanan ini memberi pengalaman bermakna kepada kami dan peserta,” katanya di sini kelmarin.

Zulkifli yang juga Naib Presiden PSENS berkata, Cassandra dan Mufasa berjaya menamatkan perlumbaan dan lulus dalam pemeriksaa­n juri dan veterinar.

Katanya, ramai peserta gagal menghabisk­an perlumbaan kerana disingkirk­an disebabkan penunggang terjatuh atau kuda mengalami kecederaan.

Terdapat juga yang gagal melepasi ujian veterinar di beberapa garis pemeriksaa­n dan garisan penamat.

“Tahniah kita ucapkan kepada Cassandra. Beliau berasal dari Miri dan mengharumk­an nama Sarawak kerana tabah dan berani menyelesai­kan perlumbaan dengan cemerlang. Beliau benar-benar berpegang kepada motto ‘agi idup agi ngelaban’,” kata Zulkifli.

Beliau menambah, PSENS akan menyertai lebih banyak acara pada 2018.

“Kita berharap men- dapat lebih banyak sokongan daripada kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk membantu PSENS membuat persiapan menjelang acara itu nanti.

“Kita juga memerlukan tempat atau padang dengan segera bagi membolehka­n komuniti penunggang kuda dan atlet-atlet berlatih serta melakukan sesi menunggang kuda dan aktiviti ekuestrian,” katanya.

Zulkifli menambah, PSENS amat komited membawa lebih banyak kemenangan untuk Sarawak dalam sukan ekuestrian selepas memenangi acara pertunjuka­n show jumping di Ipoh, Perak April lalu.

“Dengan sokongan daripada kerajaan negeri dan agensiagen­si berkaitan, kami yakin sukan ekuestrian mampu berkembang dengan lebih cepat sekali gus menjadi salah satu negeri cemerlang dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, ini tidak mustahil kerana Sarawak mempunyai dua jurulatih ekuestrian yang terbaik negara iaitu Adi Sebli dan Abdul Halim Alihan.

Selain itu, PSENS merupakan badan rasmi sukan ekuestrian di negeri ini mempunyai ramai atlet berbakat dan penunggang yang menunggu peluang mewakili Sarawak.

Beliau turut berterima kasih kepada penganjur Piala Ketua Polis Negara Endurance Horse Race 2017 termasuk Polis Diraja Malaysia ( PDRM), UPM dan Benua Equestrian Stables kerana menjemput PSENS mengambil bahagian pada perlumbaan 25 kilometer.

“Kita berharap 2018 akan membawa lebih banyak kejayaan dan pencapaian kepada Sarawak dalam sukan ini,” katanya.

Turut serta penunggang ekuestrian, Abdul Zahir Ibrahim Yusuf.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia