Utusan Borneo (Sarawak)

Terowong hampir siap untuk lindungi bekalan elektrik selama 120 tahun

-

SINGAPURA: Sistem terowong raksasa yang akan melindungi bekalan elektrik Singapura untuk tempoh 120 tahun, sudah disiapkan, lapor Straits Times.

Laporan itu menyebut bahawa projek berbilion dolar itu bagi menambah 1,200 kilometer kabel bervoltan tinggi - lebih tiga kali ganda jarak antara Singapura dan Kuala Lumpur - merupakan antara projek bekalan elektrik paling dalam di dunia.

Penduduk Singapura akan mula memanfaatk­an sumber elektrik ini mulai tahun depan, kata laporan itu memetik syarikat utiliti tenaga minyak republik itu, SP Group.

“Kami perlu membina 60 meter dalam disebabkan Singapura tidak mempunyai ruang. Kami tidak ada pilihan,” kata Pengarah Urusan Projek dan Infrastruk­tur SP Group, Michael Chin.

“Jika anda melihat profil Singapura, kami mempunyai MRT, iaitu 30 meter hingga 40 meter dalam, Sistem Pembetunga­n Terowong Dalam, iaitu antara 40 meter dan 70 meter, jadi kami ‘menjimatka­n’ ruang kami dengan pembinaan dengan kedalaman 60 meter,” kata Chin.

Tiga terowong terbabit dinamakan sebagai Terowong Perintis Pulau Utara-Selatan, Timur-Barat dan Pulau Jurong, dengan projek bernilai S$2.4 bilion (S$1=RM3.03) bermula pada 2012.

SP Group berkata kabel bervoltan tinggi di dalam terowong akan menggantik­an lapan litar yang bergerak ke utara dan selatan atau timur dan barat di seluruh republik itu.

Lapan litar ini, yang dibina pada 1980-an, merupakan kabel penghantar­an tertua yang masih digunakan di sini.

Pemasangan kabel, yang akan bermula awal tahun depan, dijangka siap pada 2022.

Kabel pertama akan dilancarka­n pada akhir tahun depan.

Kira-kira 500 km kabel akan dipasang, kurang daripada separuh kapasiti terowong.

Ia akan membekalka­n kirakira 20 peratus daripada permintaan Singapura semasa puncak, dengan tahun 2016 mencecah 7,194MW, kata Straits Times yang memetik data Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

EMA juga mengunjurk­an permintaan elektrik meningkat sekitar 2.0 peratus setahun.

Impak projek ke atas harga elektrik dijangka rendah.

“Matlamat segera pembinaan terowong kabel itu adalah untuk menggantik­an kabel kami yang sudah lama,” kata Chin.

Namun, merujuk kepada jarak kabel tambahan, Chin berkata: “Kami juga memenuhi keperluan masa depan Singapura.” — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia