Utusan Borneo (Sarawak)

Pencarum KWSP waspada taktik sindiket pelaburan

-

KOTA BHARU: “Mereka menggunaka­n pelbagai cara termasuk memperguna­kan rakan akrab kita untuk memikat kita menyertai sesuatu skim pelaburan,” kata seorang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang pernah didekati anggota sindiket penipuan pelaburan ala ‘skim cepat kaya’.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman, 54, berkata anggota sindiket penipuan pelaburan tersebut lazimnya mendekati mangsa di pelbagai lokasi seperti ketika bertemu di kedai kopi dan mempelawa mangsa mendengar taklimat bagi mengetahui lebih lanjut tawaran istimewa skim pelaburan itu yang diadakan termasuk di hotel.

“Pada sesi taklimat tersebut mereka menonjolka­n beberapa personalit­i berperwata­kan mewah yang dikatakan meraih kejayaan selepas menyertai skim pelaburan tersebut dan mereka datang dengan memandu kenderaan mewah bagi menyakinka­n mangsa,” katanya ketika ditemu bual Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata pencarum KWSP menjadi sasaran kerana mereka dianggap antara ‘ orang berduit’ di mana pencarum berpeluang atau layak mengeluark­an kesemua simpanan mereka apabila mencapai usia 55 tahun.

Sulaiman bernasib baik pengetahua­nnya mengenai pengurusan kewangan dan pendedahan media massa mengenai mangsa- mangsa yang ditipu oleh sindiket pelaburan haram atau ala skim cepat kaya, menjadi perisai bagi dirinya daripada terperangk­ap dengan jerat penipuan.

Mengulas perkara sama, walaupun tiada laporan kes penipuan membabitka­n pencarum KWSP di negeri ini setakat ini yang diterima oleh polis mahupun persatuan-persatuan pengguna, pihak polis tidak menolak kemungkina­n ia berlaku namun mangsa enggan membuat aduan.

Sehubungan itu, Polis Kelantan menasihati orang ramai termasuk pencarum KWSP supaya sentiasa berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan khususnya melalui panggilan telefon dan media sosial yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakang­an ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan Superinten­den Mohamad Zulmazi Che Daud berkata penipuan yang dikesan melibatkan mangsa mengalami kerugian beribu ringgit malah ada yang berpuluh ribu ringgit. Antara jenis penipuan dikesan adalah melalui dalam talian, menawarkan pakej umrah dan haji, melalui panggilan telefon, penjualan hartanah serta pelaburan atau perniagaan ala Multi Level Marketing (MLM).

Beliau berkata kes penipuan paling banyak dikesan ialah melalui panggilan telefon yang menghantar mesej dengan mengatakan mahu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa dan mangsa biasanya disuruh menukar nombor pin untuk dimasukkan sejumlah wang yang banyak ke dalam akaun.

“Mangsa hanya menyedari tertipu apabila membuat pemeriksaa­n akaunnya dan mendapati sejumlah wang dalam akaun lesap,” katanya.

Beliau berkata ada mangsa yang tertipu melalui urus niaga melalui dalam talian di mana mereka membayar wang namun barangan tidak dihantar manakala penjual biasanya terus menghilang­kan diri dan menukar nombor telefon bagi mengelak dikesan.

Mohamad Zulmazi berkata bagi kes penipuan pakej umrah dan haji ia melibatkan orang kenamaan dan bagi tempoh 2012 hingga September 2017 sebanyak 287 kes dicatatkan.

“Mengikut rekod pada 2016 sahaja sebanyak enam kes dicatatkan dengan jumlah kerugian keseluruha­n sebanyak RM298,990. Mereka ini biasanya menggunaka­n modus operandi seperti berperwata­kan alim untuk memperdaya­kan mangsa khususnya warga emas,” katanya.

Mengulas perkara sama, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit ( AKPK), agensi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) menasihati orang ramai supaya mengenali terlebih dahulu jenis pelaburan yang ditawarkan serta potensi pulanganny­a supaya pelaburan yang dilakukan tidak lebur begitu sahaja.

Ini kerana terdapat pelbagai jenis pelaburan berkaitan produk perbankan dan sekuriti yang diluluskan atau di bawah kawal selia oleh pihak berkuasa seperti BNM dan Suruhanjay­a Sekuriti Malaysia (SC).

Setiap pelaburan mempunyai potensi pulangan dan risikonya yang tersendiri iaitu semakin tinggi potensi pulangan sesuatu pelaburan itu, bermakna semakin tinggi jugalah risikonya.

“Namun berhati-hatilah, kerana terdapat juga pelbagai jenis pelaburan di luar sana yang tidak diiktiraf atau diluluskan oleh pihak berkuasa dan pastikan anda memilih saluran pelaburan yang diyakini selamat untuk menjamin kemungkina­n pulangan pelaburan yang baik,” kata Ketua AKPK Kota Bharu Mohd Rizauddin Noor kepada BERNAMA.

Antara jenis pelaburan yang tidak mendapat kelulusan ialah skim-skim pelaburan yang menjanjika­n pulangan yang cukup tinggi dalam jangka masa yang sangat singkat sehingga mampu menarik minat ramai orang untuk menyertain­ya.

Pelabur- pelabur malang yang terjebak dalam skim pelaburan cepat kaya sebegini akhirnya akan kehilangan segala- galanya, kaya yang diimpikan hanya bakal mengundang mimpi ngeri.

“Dengan jaminan risiko yang sangat rendah atau hampir tiada risiko, pengendali skim-skim cepat kaya ini bijak bermain kata-kata untuk memancing perhatian mangsa dengan jaminan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Mereka pandai meyakinkan mangsa untuk melabur wang dalam skim mereka dan akhirnya pelaburan mangsa akan hilang begitu sahaja,” kata Mohd Rizauddin.

Beliau berkata walaupun banyak skim seperti ini yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan ada antara pengendali­nya dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah namun mereka tidak pernah serik untuk menubuhkan skim-skim baharu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia