Utusan Borneo (Sarawak)

Bunuh: Lima lelaki termasuk dua anggota tentera dihukum mati

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhka­n hukuman gantung sampai mati terhadap lima lelaki termasuk dua anggota tentera selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian pukul di kelab snuker, tahun lepas.

Pesuruhjay­a Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhka­n hukuman itu terhadap anggota tentera Mohamad Hairul Abdullah, 35, dan Lawrance Masing, 33, pengawal keselamata­n, M. Yogesvaran, 24, pembantu kedai, Zaidi Zainal, 32, serta penyelia kedai emas Chong Kai Weng, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktika­n keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengakibat­kan kematian terhadap penganggur, Mohd Yusof Abd Khalib, 26, di V-Club Snooker, No. 25&27 Jalan Intan Baiduri 10D, Taman Intan Baiduri, Sentul dekat sini antara jam 8.30 malam hingga 11 malam pada 1 Mei 2016.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntu­k hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Shariff, dalam penghakima­n bertulis setebal 245 muka surat, berkata cerita kononnya kesemua tertuduh ingin menangkap penyamun dan membawanya ke balai polis adalah satu rekaan semata-mata dan mahkamah berpandang­an cerita tersebut adalah satu keraguan fantasi yang tidak menjejaska­n kes pendakwaan.

“Gambaran keseluruha­n yang dilihat di akhir kes ini adalah tertuduh kedua hingga kelima sememangny­a membelasah si mati dengan menendang, menghentak dengan kaki dan tangan secara bertubi-tubi dan sangat ganas.

“Tertuduh pertama yang turut berada di tempat kejadian secara niat bersama sengaja membiarkan perlakuan itu berlaku yang mana kecederaan parah itu lazimnya akan menyebabka­n kematian. Mereka kemudian membawa keluar si mati dengan kereta dan meninggalk­an isteri si mati berseorang­an di luar kelab snuker itu,” katanya.

Beliau berkata sepanjang perbicaraa­n kes di peringkat pendakwaan dan pembelaan, mahkamah tidak nampak kewujudan orang lain selain daripada kelima-lima tertuduh.

“Tindakan kelima-lima tertuduh ini telah membatasi sifat-sifat murni kemanusiaa­n dengan mengambil undang-undang di tangan sendiri.

“Kalau pun si mati dikatakan seorang penyamun, tindakan alternatif adalah untuk dibawa ke muka pengadilan dan bukannya mengambil tindakan seolah-olah seekor harimau sedang lapar membaham mangsanya,” kata Mohamad Shariff.

Selepas penghakima­n itu disampaika­n, seorang daripada anggota keluarga tertuduh menangis.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli manakala semua tertuduh diwakili peguam M. Jagesh.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk kelima-lima tertuduh dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraa­n kes berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia