Utusan Borneo (Sarawak)

Kes demam denggi meningkat 35 kes

-

KUALA LUMPUR: Kes demam denggi bagi tempoh 10 hingga 16 Dis menunjukka­n peningkata­n sebanyak 35 kes berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 985 kes demam denggi direkodkan bagi tempoh tersebut.

Katanya terdapat sembilan negeri menunjukka­n peningkata­n kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pulau Pinang, Johor, Perak, Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, Melaka dan Perlis.

Bagaimanap­un katanya, jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan dari Januari hingga 16 Dis tahun ini berkuranga­n sebanyak 16,648 kes kepada 81,790 berbanding 98,438 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Terdapat satu kematian yang dilaporkan bagi tempoh 10 hingga 16 Dis dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi di Malaysia dari Januari hingga 16 Dis adalah sebanyak 170 berbanding 230 pada 2016 iaitu penguranga­n sebanyak 60 kematian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata tiada kes chikunguny­a direkodkan pada minggu tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes dari 1 Jan sehingga 16 Dis kekal sebanyak 269 kes.

Beliau berkata setakat 16 Dis tahun ini, pemantauan sistem survelan virus Zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidik­an Perubatan mendapati keputusan ujian bagi 2,199 sampel darah dan 33 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukka­n gejala jangkitan virus berkenaan adalah negatif. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia