Utusan Borneo (Sarawak)

48 keluarga miskin terima sumbangan SABATI

-

SIBU: Seramai 48 penerima terdiri daripada keluarga miskin dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan telah menerima sumbangan daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) semalam.

Majlis penyerahan bantuan di pejabat Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Bawang Assan disempurna­kan Datin Sri Pauline Leong Poh Ling, isteri kepada ADUN Bawang Assan merangkap Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh.

Menurut Pauline, sumbangan daripada SABATI itu terdiri daripada barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam, serbuk pencuci dan sebagainya.

“Ini merupakan program tahunan SABATI di mana kami diberi sedikit peruntukan bagi membantu golongan memerlukan semasa musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

“Bantuan sama juga akan diberi kepada penerima lain semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Beliau turut memberitah­u, Presiden SABATI Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang telah menambah peruntukan kepada ahli-ahli SABATI untuk membantu lebih banyak golongan yang memerlukan.

“Walaupun tidak banyak, namun kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringanka­n beban penerima,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi Unit Bumiputera UPP Bawang Assan Andrew Shilling, Penghulu Richard Ampi, Penghulu Evelyn Holly Sebom serta yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia