Utusan Borneo (Sarawak)

Stesen Kuching catat jumlah hujan tertinggi tahun lepas

-

PUTRAJAYA: StesenKuch­ing, Sarawak mencatat jumlah hujan tahunan tertinggi pada tahun lepas dengan bacaan 5,423.0mm berbanding 4,545.5mm pada 2015, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan semalam, jabatan itu berkata hujan tahunan terendah pada 2016 pula dicatatkan di stesen Temerloh, Pahang iaitu 1,397.8mm pada 2016 berbanding pada 2015 iaitu 1,193.2mm.

“Selain itu, Malaysia turut mengalami iklim panas dan lembap yang mana pada 2016, suhu terendah dicatatkan di stesen Cameron Highlands, Pahang iaitu 16.2 darjah Celsius (ºC) manakala suhu tertinggi dicatatkan di stesen Jerantut, Pahang (34.2ºC).

“Bacaan ini meningkat berbanding 2015 yang mana suhu terendah dicatatkan adalah 15.9ºC (Cameron Highlands) dan suhu tertinggi 33.8ºC (Temerloh),” katanya.

Katanya seluas 12.8 juta hektar dicatatkan tahun lepas sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang berperanan mengawal air larian yang berlebihan dan berkeupaya­an untuk menakung air.

“Daripada jumlah tersebut, 0.7 juta hektar merupakan hutan paya gambut dan 0.6 juta hektar merupakan hutan paya laut,” katanya.

Dalam pada itu, jabatan itu mendapati statistik permintaan kepada sumber air bersih meningkat seiring dengan pertambaha­n penduduk yang mana pada 2016, volum pengeluara­n air yang dibekalkan kepada pengguna meningkat sebanyak 377 juta liter sehari (JLH) kepada 16,536 JLH berbanding pada 2015 iaitu 16,159 JLH.

Setakat tahun lepas, katanya sebanyak 95.7 peratus penduduk Malaysia telah dibekalkan dengan air paip. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia