Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas penyelia taska didakwa pecah amanah wang yuran

-

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penyelia sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas lapan pertuduhan melakukan pecah amanah yuran bulanan pusat itu yang berjumlah RM3,940 sejak April lepas.

Rusaidah Ahmad, 42, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapny­a dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa selaku penyelia taska tersebut yang diamanahka­n dengan suatu harta iaitu bayaran yuran bulanan taska daripada empat mangsa iaitu ibu bapa melibatkan antara RM400 dan RM800 yang kesemuanya berjumlah RM3,940, telah melakukan pecah amanah ke atas wang itu.

Wanita itu dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Taska Penyayang 1Malaysia Anak-Anak Ceria Seri Semarak, Wangsa Maju di sini antara 10.55 pagi dan 8.15 malam antara 21 April dan 3 Ogos lepas.

Tertuduh, yang sudah berkahwin,didakwamen­gikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntu­k hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat serta hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan itu.

Bagaimanap­un, peguam S. Ravichanda­ran yang mewakili Rusaidah memohon mahkamah mengurangk­an jaminan atas alasan anak guamnya hanya membawa wang jaminan sebanyak RM9,300.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga diperintah melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap sebulan.

Mahkamah menetapkan 11 Jan ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia