Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai dan anggota polis Perak ditahan bantu siasatan kes samun

-

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahka­n penahanan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan dua anggotanya yang bertugas di Perak serta seorang orang awam bagi membantu siasatan kes kejadian samun berkumpula­n dan memeras ugut di sebuah rumah di sini, awal pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula semalam.

Katanya pegawai dan anggota berkenaan mendakwa mereka membuat serbuan ke rumah terbabit di Persiaran Rapat Baru 1, Taman Lapangan Permai kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

“Bagaimanap­un, mereka tidak membuat laporan (serbuan) yang merupakan prosedur setiap kali selepas selesai serbuan.

“Sebaliknya, kita syaki mereka mengambil kesempatan meminta wang, memeras ugut dan menyamun mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Noor Rashid berkata semua yang terlibat kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpula­n tanpa senjata api.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Omar Mammah ketika dihubungi berkata kejadian itu melibatkan seorang pegawai, tiga anggota dan dua orang awam.

“Seorang lagi anggota serta seorang orang awam masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Kelmarin, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis mendakwa didatangi enam lelaki mengaku sebagai anggota polis yang ingin membuat pemeriksaa­n di dalam rumahnya selain diperas ugut untuk menyerahka­n RM12,300.

Dipercayai wang tersebut diminta sebagai melepaskan mangsa daripada dibawa ke balai polis kerana penemuan dadah di rumahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia