Utusan Borneo (Sarawak)

Suspek kes tetak di Kuala Nerus diburu

-

KUALA TERENGGANU: Polis Kontinjen Terengganu kini memburu seorang lelaki berumur 25 tahun bagi membantu siasatan kes tetak dengan senjata yang berlaku di Kampung Wakaf Tengah, Kuala Nerus, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang setelah selesai urusan di bank namun disekat suspek sebelum kepalanya dipukul dengan sebatang besi.

Katanya, kejadian itu telah dileraikan orang ramai namun suspek yang tidak berpuas hati telah ke rumah mangsa lalu menyerangn­ya dengan sebilah pedang sebelum bertindak melarikan diri.

Susulan kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di tangan dan kepala akibat ditetak dengan pedang oleh suspek.

“Seorang lelaki Melayu telah mendapat kecederaan akibat ditetak dengan pedang dan parang… Buat masa ini siasatan telah dibuat dan pihak polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat, kita masih dalam usaha mengesan kerana kita percaya suspek ini menyembuny­ikan diri,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Fazlisyam berkata, motif serangan dipercayai kerana suspek menganggap mangsa telah melaporkan kes jenayah suspek kepada pihak polis.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangk­an kecederaan.

“Kita juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai informasi mengenai keberadaan suspek agar menghubung­i balai polis berdekatan bagi membantu mengesan suspek,” katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya telah menahan seramai 420 daripada 859 penjenayah yang dikehendak­i atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun ini.

“Seramai 380 orang daripadany­a dicekup melalui operasi yang dilancarka­n sepanjang 2017 dan selebihnya berdasarka­n sumber orang awam atau suspek menyerah diri.

“Selain itu, penyebaran gambar dan maklumat suspek ke media sosial Facebook serta hebahan oleh media massa turut menyumbang kepada tertangkap­nya sebahagian daripada penjenayah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, 36 suspek telah ditahan yang mana 15 orang daripadany­a ditahan hasil maklumat masyarakat serta menyerah diri sejak hebahan di Facebook bermula pada 26 Sept lepas.

Pihaknya juga berjaya menyelesai­kan lebih 65 peratus daripada keseluruha­n kes-kes jenayah yang berlaku di Terengganu pada tahun ini iaitu meliputi kes yang telah dibawa ke mahkamah dan siasatan yang telah selesai, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia