Utusan Borneo (Sarawak)

Menyamar pegawai AADK, bapa anak tiga dipenjara 15 bulan

-

PETALING JAYA: Garagara menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan ( AADK) untuk meminta wang daripada mangsa, seorang bapa tiga anak dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhi hukuman itu selepas Mohamad Tarmizi Ismail, 36, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu dan memerintah­kan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Terdahulu, ketika ditanya Zaki Asyraf sama ada tertuduh sudah biasa melakukan perbuatan itu, tertuduh menjawab “tidak, saya hanya buat sekali, saya buat sebab nak minta duit”.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa bersama tiga lagi yang sudah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas didapati menyamar sebagai pegawai AADK dan melakukan pemeriksaa­n ke atas Aamir Sohaib dan Jullyana Arfi di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, dekat sini, pada kira-kira 2.30 pagi, 23 Nov ember lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh bersama beberapa rakan lain menyamar sebagai pegawai AADK dan menjalanka­n pemeriksaa­n terhadap kedua-dua mangsa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia