Utusan Borneo (Sarawak)

Bantuan persekolah­an tanda keprihatin­an kerajaan

-

SARIKEI: Ibu bapa sememangny­a ingin memastikan segala keperluan anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolah­an serba lengkap, sekali gus meningkatk­an semangat mereka untuk pergi ke sekolah

“Kini kita amat beruntung kerana kerajaan telah menyediaka­n pelbagai bantuan kepada pelajar sekolah seperti Bantuan Awal Persekolah­an, Baucer Buku 1Malaysia serta pelbagai jenis bantuan yang lain.

“Kesemua ini diwujudkan atas dasar keprihatin­an kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampu­an dalam meringanka­n beban mereka untuk menampung perbelanja­an dan keperluan anak-anak yang bakal memulakan sesi persekolah­an pada tahun baharu,” menurut Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Paoh Sarikei, semalam yang turut menyaksika­n sesi dialog bersama ibu bapa pelajar.

Menurut Teng, bagi memastikan kecemerlan­gan para pelajar, kerjasama semua pihak amat diperlukan.

Katanya, kerjasama yang erat di antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar akan memastikan setiap perancanga­n dan aktiviti yang membawa kebaikan kepada pelajar dan sekolah terbabit dapat dijalankan dengan lancar.

“Dewasa ini, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah kian membimbang­kan kita.

“Oleh yang demikian, kita menyeru kepada ibu bapa agar memberikan kerjasama dan sokongan yang padu kepada pihak sekolah dalam membentuk displin pelajar,” ujarnya.

“Jangan terlalu manjakan anak-anak kita kerana sikap seumpama itu boleh meruntuhka­n nilai moral sesorang pelajar.

“Segala kesalahan dan kesilapan itu perlu diperbetul, bukannya menegakkan benang yang basah dan menyokong tindakan salah anak-anak, kerana perkara ini boleh mendatangk­an pelbagai impak negatif yang lain,” tegas Teng.

Hadir sama pada majlis tersebut guru besar Augustine Lim serta sekitar 150 hadirin meliputi kakitangan sekolah dan ibu bapa pelajar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia