Utusan Borneo (Sarawak)

15 rumah setinggan di Kampung Baru musnah terbakar

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini semalam.

Ia menyebabka­n asap tebal menyelubun­gi kawasan itu yang terletak di tengahteng­ah ibu kota dan dapat dilihat beberapa kilometer dari lokasi kebakaran.

Operasi memadamkan api membabitka­n 50 pegawai dan anggota bomba yang turut dibantu penduduk dan orang ramai.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bomba dan Balai Bahagian Operasi Kuala Lumpur Ahmad Adli Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.39 pagi, dan api berjaya dikawal pada jam 10.12 pagi.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kesemua mangsa akan ditempatka­n buat sementara di kediaman Program Perumahan Rendah (PPR) yang akan ditetapkan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata beliau difahamkan kejadian berpunca daripada sebuah rumah yang disewakan sebelum ia kemudianny­a merebak ke rumah lain.

“Saya nasihatkan penyewa rumah agar tidak membuat sebarang penyambung­aan wayar elektrik tanpa pengetahua­n pihak Tenaga Nasional Berhad,” katanya yang ditemui pemberita ketika melawat lokasi kejadian.

Saksi kejadian, Mohd Syawal Indra, 28, berkata beliau menyedari kebakaran berlaku selepas melihat asap tebal di kawasan berkenaan.

“Saya juga terdengar suara orang meminta tolong sebelum bergegas membantu memadamkan api tersebut. Pada mulanya usaha kami berjaya, namun selepas itu terdapat tong gas yang tiba-tiba meletup dan menyebabka­n api merebak,” katanya.

Mangsa kebakaran, Zaharatuln­isa Zuharno, 37, yang menyewa di situ sejak 2004, berkata beliau kehilangan semua harta benda miliknya termasuk dokumen penting seperti surat beranak anaknya.

“Kami sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang... kita tak tahu apa punca kebakaran dan tidak mahu salahkan sesiapa. Ini ujian buat kami,” kata wanita itu.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.14 pagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia