Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga lelaki disyaki pengedar ditahan, dadah RM1.7j dirampas

-

KUALA LUMPUR: Polis memberkas tiga lelaki tempatan disyaki anggota sindiket pengedaran dadah serta merampas lebih 45 kilogram pelbagai jenis dadah dan bahan membuat dadah bernilai RM1.7 juta dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata ketiga-tiga suspek diberkas dalam operasi antara 4.15 petang dan 6.50 petang pada hari berkenaan hasil risikan dan maklumat awam.

Serbuan pertama ke atas sebuah rumah di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 29 tahun dan polis merampas 13kg dadah jenis ketamin serta 2,160 peket serbuk minuman disyaki berisi campuran dadah seberat 19.44kg, katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Katanya serbuan kedua terhadap sebuah rumah di Jinjang Selatan Tambahan menyaksika­n seorang lelaki berusia 56 tahun diberkas dan polis merampas 12.94kg serbuk efedrina iaitu bahan untuk menghasilk­an syabu.

Ini diikuti penahanan seorang lagi suspek berusia 47 tahun dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, katanya menambah kesemua bahan terlarang yang dirampas itu mampu menampung permintaan kira-kira 110,000 penagih.

“Peket serbuk minuman itu dipercayai untuk dipasarkan di pusat hiburan di sekitar Negeri Sembilan dan Kajang dengan harga pasaran RM350 sepeket manakala ketamin terbabit dipercayai untuk pasaran Taiwan.

“Harga pasaran gelap bagi dadah jenis ketamin ialah RM50,000 sekilogram tetapi nilainya dikatakan 10 kali ganda lebih mahal dan mampu mencecah RM500,000 di pasaran Taiwan,” kata Mohmad.

Turut disita dua kereta dengan nilai RM45,000.

Beliau berkata suspek berusia 29 dan 47 tahun terbabit didapati positif dadah manakala lelaki berusia 56 tahun itu pula mempunyai rekod lampau menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan ketiga-tiga mereka dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Polis sedang mengenal pasti dalang sindiket dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13B Akta Dadah Berbahaya, kata Mohmad. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? HASIL RAMPASAN: Mohmad Salleh (tengah) menunjukka­n satu bungkusan dadah disyaki jenis Ketamin pada sidang media semalam.
— Gambar Bernama HASIL RAMPASAN: Mohmad Salleh (tengah) menunjukka­n satu bungkusan dadah disyaki jenis Ketamin pada sidang media semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia