Utusan Borneo (Sarawak)

Selamat tinggal Ampang Park

-

KUALA LUMPUR: Setelah 44 tahun beroperasi, kompleks beli- belah Ampang Park menutup tirainya semalam dan detik-detik akhir itu meninggalk­an perasaan bercampur-baur bagi peniaga serta pengunjung setianya untuk mengucapka­n selamat tinggal kepada kompleks nostalgia itu.

Tinjauan Bernama mendapati sehingga hari terakhirny­a, Ampang Park masih menjadi tumpuan warga kota walaupun semalam kunjungan mereka bukan sekadar untuk membeli-belah tetapi rata- ratanya datang bagi mengimbau kembali kegemilang­an kompleks beli-belah tertua negara itu.

Seorang peniaga, Pritam Ranai, 65, Ampang Park merupakan ‘taman permainan’ buat tiga anaknya kerana anaknya membesar di situ.

Pritam membuka kedai pakaian lelaki sekitar 40 tahun lepas menamakan kedainya Jason’s sempena nama seorang daripada anak lelakinya dan ternyata penutupan Ampang Park memberi kesan nostalgik kepada dirinya.

“Saya tidak boleh tidur lena sejak minggu lepas kerana masalah ini, dan saya juga cuba untuk menjual apa saja barangan sebelum kami menutup kedai hari ini (semalam).

“Pelanggan saya mengatakan bahawa mereka ingin membeli sesuatu dari kedai saya sebagai kenangan Ampang Park,” katanya dan menambah kedai beliau akan berpindah ke KL Trillion tahun depan.

Richard Lee, 48, pemilik salun rambut Minas pula berkata walaupun beliau akur dengan keputusan pihak kerajaan untuk menutup kompleks beli-belah itu, namun beliau masih menzahirka­n rasa terkilan kerana perniagaan tersebut merupakan sumber pendapatan­nya sejak tahun 1992.

“Walaupun saya akan berpindah ke lokasi perniagaan baharu di The Ampwalk, namun pastinya ia tidak sama kerana saya perlu bermula dari bawah seperti waktu mula-mula berniaga dahulu,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatang­an Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turut kelihatan berlegar di kompleks beli-belah itu berkata, Ampang Park begitu signifikan kerana ia banyak membantu golongan Bumiputera terutama Melayu dalam perniagaan mereka.

“Hari ini ( semalam) merupakan hari terakhir kompleks ini beroperasi, memang saya agak sedih kerana saya selalu ke sini untuk mencari barang keperluan.

“Bagaimanap­un pembanguna­n harus diteruskan seiring dengan arus pemodenan negara,” katanya.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang awam pada 15 Mac 1973, menjadikan­nya kompleks beli-belah pertama di negara ini dengan keseluruha­n 250 lot premis yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan selain perkhidmat­an untuk warga kota.

Kompleks berkenaan akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Ampang Park.

Penjawat awam Norazean Farina Dawam, 37, yang ditemui ketika leka ‘mencuci mata’ di kompleks beli-belah itu berkata beliau jarang ke Ampang Park sejak berpindah ke Cyberjaya, namun tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama orang ramai pada hari terakhir kompleks berkenaan.

“Saya lihat banyak kedai di tingkat bawah membuat jualan lelong dan saya sempat membeli beberapa barangan seperti kasut dan baju,” katanya yang ditemani suami Johan Kurniawan Suar Nor, 37.

Dalam pada itu, restoran McDonald’s di Ampang Park, di sini semalam tidak melepaskan peluang mencipta kenangan manis bersama pelanggann­ya sebelum ia ditutup selamanya bermula hari ini.

Restoran berkenaan yang telah beroperasi di kompleks beli-belah itu hampir tiga dekad, menutup sejarahnya dalam suasana cukup meriah dengan pelbagai aktiviti menyeronok­kan seperti persembaha­n busker, lukisan muka, gubahan belon dan sesi fotografi.

Pengarah Kanan Pemasaran, Komunikasi dan Penyelidik­an McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata pelanggan boleh mencipta memori baharu di McDonald’s yang baru dibuka di Intermark, di Jalan Tun Razak di sini.

“Restoran yang dibuka sejak seminggu lepas kini menawarkan suasana moden buat pelanggann­ya iaitu dengan konsep teknologi baharu dan perkhidmat­an pelanggan yang inovatif.

“Antaranya pelanggan kini boleh membuat pesanan sendiri di kiosk layan diri, cara ini memudahkan dan mampu mengurangk­an masa menunggu tanpa perlu beratur panjang,” katanya semasa merasmikan majlis penutupan McDonald’s Ampang Park di sini, semalam.

Beliau berkata pelanggan yang bekerja atau tinggal di kawasan berhampira­n Ampang Park masih boleh mendapatka­n hidangan McDonald’s tanpa perlu berjalan jauh. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KENANGAN: Maskot McDonald’s Ronald McDonald’s bersama bekas-bekas pekerja McDonald’s Ampang Park memeriahka­n majlis meraikan kenangan manis selama 28 tahun operasi Restoran McDonald’s bersama orang ramai dan bekas pekerjanya di Ampang Park semalam.
— Gambar Bernama KENANGAN: Maskot McDonald’s Ronald McDonald’s bersama bekas-bekas pekerja McDonald’s Ampang Park memeriahka­n majlis meraikan kenangan manis selama 28 tahun operasi Restoran McDonald’s bersama orang ramai dan bekas pekerjanya di Ampang Park semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia