Utusan Borneo (Sarawak)

Chong Sin Woon calon MCA di Parlimen Seremban pada PRU14

-

SEREMBAN: MCA akan meletakkan Ketua Pemudanya Senator Datuk Chong Sin Woon untuk bertanding di kerusi Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata, pemilihan Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan adalah berdasarka­n gerak kerja beliau selain dilihat mempunyai komitmen tinggi dalam memberi khidmat kepada penduduk Seremban ditambah keperibadi­an yang dinamik serta popular dalam kalangan penduduk setempat.

“Saya minta penduduk di Seremban memberi sokongan kepada MCA kerana kita perlukan perwakilan kaum Cina dalam kerajaan bagi memberi perkhidmat­an berterusan kepada masyarakat Cina,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Besar Seremban, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Seri King Lim Chin Fui.

Liow juga berkata, MCA telah menghantar senarai pendek calonnya untuk PRU14 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional.

Pada masa sama, Liow berkata MCA berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan yang sentiasa menjaga kebajikan kaum Cina sekalipun kaum itu tiada wakil dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Beliau turut mengingatk­an pengundi Cina agar tidak terpedaya dengan racun emosi yang sering digunakan oleh pembangkan­g untuk memancing undi.

Mengulas pemilihann­ya itu, Chong berterima kasih kepada MCA dan berjanji akan melaksanak­an tugas yang diberi dengan komitmen tinggi.

“Saya mohon pengundi Seremban memberi peluang kepada saya untuk membawa suara Seremban masuk ke Parlimen kerana sebelum ini tidak banyak isu-isu Seremban yang dibawa masuk ke Parlimen,” katanya.

Kerusi Parlimen Seremban kini disandang oleh Anthony Loke Siew Fook daripada DAP yang menewaskan calon MCA Datuk Dr Yeow Chai Thiam (mendiang) dan tiga calon Bebas pada PRU13. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia