Utusan Borneo (Sarawak)

Boko Haram bunuh empat pembalak

-

KANO: Pejuang Boko Haram menyerang sekumpulan pembalak di sebuah perkampung­an terpencil di timur laut Nigeria kelmarin dan membunuh empat orang, kata seorang mangsa yang selamat dan seorang ketua militia.

Lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menyerang pembalak tersebut ketika mereka memunggah kayu api ke atas van pikap di perkampung­an Maiwa, 20 kilometer dari Maiduguri, ibu kota negeri Borno, kata mereka.

Lelaki bersenjata tersebut membakar tiga buah kenderaan yang membawa muatan kayu api dan menuju ke kota yang bergolak itu.

“Empat pembalak ditembak mati oleh lelaki bersenjata Boko Haram yang turut membakar tiga buah kenderaan yang membawa muatan kayu api,” kata Ibrahim Liman, seorang ketua pasukan militia yang menentang pemberonta­k.

Beliau berkata pembalak lain terselamat daripada serangan itu.

Penyerang, yang menunggang enam buah motosikal, menyerang tapak pembalakan berkenaan sekitar jam 4.40 petang waktu tempatan, kata pembalak Haruna Dahiru.

“Seramai 16 daripada mereka ( Boko Haram) datang dengan menaiki enam buah motosikal, menunggang secara berpasanga­n dan tiga orang, dan menembak kami tanpa menyebut apa-apa,” katanya.

“Mereka membunuh empat rakan kerja saya dan membakar tiga van pikap yang kami punggah dengan kayu api untuk dijual di Maiduguri,” ujarnya.

Keganasan Boko Haram sudah mengorbank­an lebih 20,000 orang dan menyebabka­n kira-kira 2.6 juta orang hidup dalam pelarian sejak 2009, yang mencetuska­n krisis kemanusiaa­n yang serius di rantau berkenaan.

Kebanyakan mereka yang hidup dalam pelarian bergantung kepada bantuan makanan dari agensi bantuan manakala pelarian lain menebang pokok yang mereka jual untuk membeli makanan.

Kumpulan pelampau semakin kerap menyasari pembalak, yang mereka tuduh melakukan pengintipa­n dan memberi maklumat kepada tentera dan militia tempatan yang menentang mereka.

Pada Ogos lalu pejuang Boko Haram memenggal kepala tiga orang pembalak dekat perkampung­an AisaWuloma­ri, 40 kilometer dari Maiduguri ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kota tersebut.

Pada April lalu lapan orang pembalak dibunuh dan mayat mereka dibakar oleh pemberonta­k di Kayamla, 10 kilometer dari Maiduguri ketika mereka mengumpul kayu api dalam semak.

Anggota tentera kerajaan menangkis serangan kedua Boko Haram kelmarin ke atas sebuah markas tentera di perkampung­an Kanamma dalam negeri jiran Yobe, kata penduduk tempatan.

Kumpulan pelampau itu menyerang markas tersebut dalam lapan buah trak tetapi diusir oleh askar dalam pertempura­n yang berlangsun­g selama dua jam. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia